ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

01 October 2012

Berbasikal Ke Tempat Kerja (BKTK) - Bahagian 2


Kesinambungan dari episod lalu.
 
Pendahuluan

Bagi berkongsi pengalaman selama 8 hari BKTK (Berbasikal Ke Tempat Kerja), ianya akan disenaraikan dalam format soal-jawab (FAQ). Perspektif serta saranan adalah terhad kepada skop ruang lingkup perjalanan, jumlah masa dan situasi penulis serta mungkin bercanggah dengan kesesuaian para pembaca. Walaubagaimanapun, penulis terbuka untuk bertukar pandangan dengan rakan-rakan kayuhan tentang aktiviti BKTK ini.

Untuk artikel kali ini, penulis akan menjawab dahulu empat soalan utama. Seperti berikut:
 

Apakah persediaan untuk BKTK ? 

Penulis membahagikan persediaan BKTK kepada aspek fizikal dan mental. Fizikal dibahagikan kepada dua iaitu persiapan diri dan persediaan basikal. Persiapan diri adalah memastikan tubuh badan berada pada tahap kesihatan yang baik manakala persediaan basikal pula iaitu memastikan ia berkeadaan sempurna dan tip-top.

Antara perkara penting yang saya beri perhatian ialah pada keadaan tayar, sistem gear dan sistem brek.  Selain itu, saya juga membawa peralatan seperti pam tangan (hand pump), pembuka tayar (tyre lever), hex key (Allen key), pemotong (cutter), spanar boleh laras (adjustable spanner), playar (plier) dan pemutar skru (screwdriver) selain tiub gantian sebagai persediaan andai berlaku sebarang kerosakan di jalanan.

Persiapan mental pula ialah melaraskan akal fikiran untuk bersedia dengan pelbagai kemungkinan mendatang, ianya boleh jadi samada dalam bentuk cuaca yang tidak menentu, keletihan badan, tidak dihormati oleh pengguna jalanraya lain, keadaan laluan yang rosak ataupun berbukit, kesesakan lalu lintas, tayar pancit, kerosakan pada basikal, dimaki hamun oleh pengguna jalanraya lain dan kemungkinan disamun. BKTK di Malaysia menuntut kekuatan mental yang tinggi disebabkan oleh keadaan cuaca yang beriklim panas dan lembab serta etika pengguna jalanrayanya.


Apakah aktiviti BKTK ini merbahaya ? 

Seperti apa-apa aktiviti yang kita pilih untuk lakukan di dalam dunia ini, semestinya mempunyai risiko yang tersendiri.  Yang membezakannya ialah cuma tinggi atau rendahnya risiko itu. Peribadinya saya katakan, dengan pendekatan yang mengutamakan keselamatan di tahap tertinggi, risiko itu boleh diturunkan sekaligus menjadikan aktiviti ini tidak atau kurang merbahaya.


Bagaimanakah pemilihan laluan untuk BKTK ?

Saya pasti semua pengamal BKTK akan mengutamakan keselamatan diri pada tahap tertinggi diikuti dengan aspek penjimatan tenaga, masa dan kos.  Selain itu, faktor kesenangan juga diambil kira. Bukan semua di antara kita adalah atlit lumba basikal, menjadikan laluan yang mempunyai kawasan pendakian pastinya akan cuba untuk kita elakkan.

Sebelum BKTK, saya terlebih dahulu membuat pengiraan jarak menggunakan Google Maps. Faktor yang saya ambil kira ialah memilih jalan terdekat, tercepat dan seboleh-bolehnya yang mengelakkan konflik dengan laluan pengguna jalanraya yang lain.


Berapakah kelajuan (km/j) yang sesuai untuk BKTK  ?
 
Tiada kelajuan yang ditetapkan untuk BKTK, semuanya terpulang pada kemampuan individu, keadaan dan situasi laluan, jarak perjalanan dan kuantiti masa yang ada. Saya mengambil pendekatan untuk bersederhana, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Jika saya keluar dari rumah awal, saya dapat berkayuh perlahan dan tidak terburu-buru disamping menghiburkan hati sendiri lebih-lebih lagi apabila melihat kesesakan jalanraya di Lebuhraya Persekutuan ( :

Yang penting, jangan jadikan kelajuan kita yang perlahan itu sebagai satu asas untuk dibenci oleh pengguna jalanraya lain.

 B   E   R   S   A   M   B   U   N   G
 
Nota ingatan kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :