ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

22 July 2013

Trek Basikal Shah Alam



[Klik untuk pembesaran imej]


Saya diinfokan oleh seorang rakan kayuhan telah terdapat satu laluan berbasikal di seksyen 4, Shah Alam. Maka pada suatu petang Ahad yang damai pada bulan Jun 2013 lalu saya pun berkayuh berseorangan cuba mencari laluan yang dimaksudkan itu. Saya menemukan jalan masuk ke laluan berbasikal tersebut berhampiran Bulatan Setia Jasa di Seksyen 4 / Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Terlupa akan saya tentang jumlah jarak laluan berbasikal tersebut seperti yang diinfokan pada papantandanya. Saya menganggarkan ianya sepanjang lebih kurang dua kilometer. Laluan yang diasingkan dari jalan raya dan kawasan perumahan ini juga redup di sebahagian besar kawasan. Zon berisiko seperti laluan yang melintasi jalanraya telah diletakkan papantanda amaran dan lintasan belang. Terdapat juga pondok untuk berehat, khasnya setelah penat berkayuh. Bagi saya, laluan ini sangat sesuai jika ada dari ibubapa yang mahu membawa anak kecil mereka berkayuh bersama.




Laluan lurus, sebelum memasuki selekoh

Berlatarbelakangkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah / Masjid Negeri / Masjid Biru


Laluan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim pada Ahad 7hb Julai 2013, iaitu hujung minggu terakhir sebelum datangnya bulan Ramadhan 1434H. Bersempena dengan perasmian laluan, satu acara kayuhan yang dinamakan Kayuhan Zon Bersih telah diadakan. Bertempat di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, para peserta datang seawal jam 0730 pagi untuk mendaftar diri.

Para peserta turut diberikan peluang untuk memenangi cabutan bertuah, kemeja T bagi pendaftaran 150 peserta terawal dan juga sarapan pagi. Kayuhan yang direncanakan pada jam 0830 pagi ini, telah bermula lewat dan tersasar dari waktu yang ditetapkan. Walaubagaimanapun, para peserta masih begitu bersemangat menantikan kehadiran VIP bagi merasmi dan seterusnya memulakan kayuhan itu. Kayuhan dimulai dengan acara Menteri Besar Selangor bertemu dengan semua pengayuh, sebelum menandatangi plat dan melepaskan peserta secara rasmi.


Rekabentuk corak hadapan kemeja T kayuhan
 
Plet yang telah ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor, sebagai tanda perasmian


Perjalanan kayuhan dimulakan dengan memasuki sebahagian Trek Basikal Shah Alam, sebelum melalui beberapa jalan sekitar bandaraya Shah Alam. Kayuhan yang mendapat kerjasama kawalan keselamatan jalanraya dari petugas Majlis Bandaraya Shah  Alam dan Polis Diraja Malaysia  (PDRM) ini turut diikuti oleh beberapa buah bas dan lori untuk membawa peserta dan basikal mereka bagi yang tidak berkemampuan untuk menghabiskan kayuhan.

Selesai kayuhan, saya terus pulang dan tidak menunggu sehingga acara cabutan bertuah kerana ada urusan yang perlu dibereskan. Moga laluan berbasikal seperti ini akan mula diperkenalkan oleh bandar atau PBT di kawasan lain pula.

Nota kaki:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada individu yang sudi klik pada ruangan iklan di sebelah atas atau / dan tepi kanan artikel ini. Terima kasih ( :
  

20 May 2013

Kayuhan Ultra 2013


'Cover photo' Kayuhan Ultra 2013 di page Facebook [Klik untuk pembesaran imej]

Seramai empat orang pemuda akan melakukan satu kayuhan jarak jauh, dalam jangkamasa 27 jam sejauh 400 kilometer dari Shah Alam, Selangor ke Sungai Petani, Kedah. Kayuhan tersebut dinamai Kayuhan Ultra 2013. Ianya boleh dirujuk di page Facebook. Dua orang peserta dari Pedal Krem Riders akan melakukan kayuhan ini, mereka adalah saudara Muzammil dan Azizan @ Wakjan.

Mengikut info dari UMCA (Ultra-Marathon Cycling Association), sebuah badan yang mengelolakan dan mengawal sebarang aktiviti kayuhan ultra di Amerika Syarikat, kayuhan ultra terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu:
(a) Jangkamasa 13.5 jam, sejauh 200 kilometer.
(b) Jangkamasa 20.0 jam, sejauh 300 kilometer.
(c) Jangkamasa 27.0 jam, sejauh 400 kilometer.
(d) Jangkamasa 40.0 jam, sejauh 600 kilometer, dan
(e) Jangkamasa 75.0 jam, sejauh 1000 kilometer.

Acara kayuhan ini adalah tertutup dan mereka tidak menjemput mana-mana pihak untuk menyertai mahupun mengiringi. Walaubagaimanapun rakan-rakan boleh bertemu dan mengikuti kayuhan mereka secara fasa mengikut beberapa lokasi tertentu. Laluan, lokasi hentian, masa dijangka tiba dan berlepas serta masa rehat yang mereka rancangkan boleh dilihat di pautan Google Map.


Laluan perjalanan Kayuhan Ultra 2013 [Klik untuk pembesaran imej]

Akhir kata, Pedal Krem Riders memohon agar pihak tuan/puan/encik/cik agar dapat memberikan sokongan, dorongan dan motivasi; juga tidak lupa untuk mendoakan keselamatan serta kejayaan kepada semua peserta kayuhan ini.