ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

22 July 2013

Trek Basikal Shah Alam



[Klik untuk pembesaran imej]


Saya diinfokan oleh seorang rakan kayuhan telah terdapat satu laluan berbasikal di seksyen 4, Shah Alam. Maka pada suatu petang Ahad yang damai pada bulan Jun 2013 lalu saya pun berkayuh berseorangan cuba mencari laluan yang dimaksudkan itu. Saya menemukan jalan masuk ke laluan berbasikal tersebut berhampiran Bulatan Setia Jasa di Seksyen 4 / Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Terlupa akan saya tentang jumlah jarak laluan berbasikal tersebut seperti yang diinfokan pada papantandanya. Saya menganggarkan ianya sepanjang lebih kurang dua kilometer. Laluan yang diasingkan dari jalan raya dan kawasan perumahan ini juga redup di sebahagian besar kawasan. Zon berisiko seperti laluan yang melintasi jalanraya telah diletakkan papantanda amaran dan lintasan belang. Terdapat juga pondok untuk berehat, khasnya setelah penat berkayuh. Bagi saya, laluan ini sangat sesuai jika ada dari ibubapa yang mahu membawa anak kecil mereka berkayuh bersama.




Laluan lurus, sebelum memasuki selekoh

Berlatarbelakangkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah / Masjid Negeri / Masjid Biru


Laluan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim pada Ahad 7hb Julai 2013, iaitu hujung minggu terakhir sebelum datangnya bulan Ramadhan 1434H. Bersempena dengan perasmian laluan, satu acara kayuhan yang dinamakan Kayuhan Zon Bersih telah diadakan. Bertempat di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, para peserta datang seawal jam 0730 pagi untuk mendaftar diri.

Para peserta turut diberikan peluang untuk memenangi cabutan bertuah, kemeja T bagi pendaftaran 150 peserta terawal dan juga sarapan pagi. Kayuhan yang direncanakan pada jam 0830 pagi ini, telah bermula lewat dan tersasar dari waktu yang ditetapkan. Walaubagaimanapun, para peserta masih begitu bersemangat menantikan kehadiran VIP bagi merasmi dan seterusnya memulakan kayuhan itu. Kayuhan dimulai dengan acara Menteri Besar Selangor bertemu dengan semua pengayuh, sebelum menandatangi plat dan melepaskan peserta secara rasmi.


Rekabentuk corak hadapan kemeja T kayuhan
 
Plet yang telah ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor, sebagai tanda perasmian


Perjalanan kayuhan dimulakan dengan memasuki sebahagian Trek Basikal Shah Alam, sebelum melalui beberapa jalan sekitar bandaraya Shah Alam. Kayuhan yang mendapat kerjasama kawalan keselamatan jalanraya dari petugas Majlis Bandaraya Shah  Alam dan Polis Diraja Malaysia  (PDRM) ini turut diikuti oleh beberapa buah bas dan lori untuk membawa peserta dan basikal mereka bagi yang tidak berkemampuan untuk menghabiskan kayuhan.

Selesai kayuhan, saya terus pulang dan tidak menunggu sehingga acara cabutan bertuah kerana ada urusan yang perlu dibereskan. Moga laluan berbasikal seperti ini akan mula diperkenalkan oleh bandar atau PBT di kawasan lain pula.

Nota kaki:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada individu yang sudi klik pada ruangan iklan di sebelah atas atau / dan tepi kanan artikel ini. Terima kasih ( :