Pada hari Ahad, dua puluh haribulan Mac yang lalu, empat orang geng Pedal Krem Riders (selepas ini akan disebut sebagai PK Riders) telah berkayuh offroad di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Taman Tasik Perdana dipilih kerana ianya berhampiran dengan lokasi kediaman setiap peserta ditambah lagi dengan pada waktu tengaharinya terdapat jemputan ke majlis kenduri kahwin. Mereka yang hadir pada hari itu ialah Hadri, Pojie, Jusrizal dan penulis (Wakjan). Bagi Jus, ini adalah kayuhan offroad sulung beliau setelah baru sahaja memiliki basikalnya sendiri, berjenama Raleigh model Avatar. Tahniah Jus !!
Nota: Perkataan berwarna
biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Gambar – gambar diambil dari koleksi peribadi di laman Facebook
Hadri dan
Jus, semua hakcipta adalah terpelihara. Ucapan penghargaan dan terima kasih saya ucapkan pada mereka berdua.
Persiapan sebelum memulakan kayuhan
Wakjan mengetatkan ‘quick release’ pada hub roda hadapan basikal Jus
Barisan empat peserta yang akan memasuki laluan offroad Taman Tasik Perdana pada pagi itu. Gambar diambil oleh Adzmin, yang datang untuk bersarapan di jalan Tanglin
‘Lesen penuh’ dinamakan berikutan kini terdapat satu lagi laluan baru di situ. Bagi rakan – rakan PK Riders yang pernah merasai laluan lama, bolehlah dikira sebagai ‘lesen separuh’ manakala yang langsung tidak pernah berkayuh offroad di situ, kira tiada lesenlah hehehe jangan marah ( :
Jus bersama basikal miliknya yang baru beberapa minggu dibeli
Acara kayuhan dimulakan dengan bersarapan di gerai makan di jalan Tanglin, diikuti memasuki laluan
offroad yang lama dimana jalan masuknya berhampiran Taman Rusa dan Kancil. Di awal kayuhan, terdapat sedikit perubahan dimana laluan dilencongkan sedikit ke atas tetapi masih berselari dengan laluan asal. Melepasi laluan yang landai, kami berhenti rehat di pintu pagar yang memisahkan Taman Tasik Perdana dan jalan masuk ke
Planetarium Negara.
Semasa berhenti, kami disapa oleh seorang warga emas berketurunan Cina yang ramah dan berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang basikal kami. Kami kemudian menyambung kayuhan ke satu lagi bahagian kedua fasa pertama dan laluan membawa kami ke bahagian hujung taman tasik yang mempunyai belukar. Di sini kami berehat sebentar, sebelum melalui laluan downhill panjang menuju ke terowong yang menghubungkan Taman Tasik Perdana dan Muzium Negara.
Memasuki laluan permulaan. Aikkk, baru masuk dah menolak ?
Berehat setelah selesai melalui bahagian awal fasa pertama
Tempat rehat kami yang kedua, berhampiran pintu pagar ke Planetarium Negara
Berehat sekali lagi di tepi belukar, sebelum laluan menuruni bukit ke terowong Taman Tasik Perdana – Muzium Negara.
Wakjan, bersedia untuk membawa rakan – rakan menuruni laluan downhill
Selepas satu laluan
downhill panjang yang pertama untuk kayuhan pada hari itu, sebagai bonus penulis membawa mereka ‘makan angin’ di
Muzium Negara. Di kawasan kolam air pancut, Hadri bersama Pojie dan penulis melakukan aksi ‘berani’ mereka apabila berkayuh atas tebing kolam yang tidak berapa lebar. Kami turut merakamkan
aksi –
aksi tersebut dalam format video, yang kemudiannya dimuatnaikkan ke dalam laman Facebook penulis.
Semasa mengelilingi kawasan Muzium Negara, didapati tidak ramai pengunjung pada hari itu berkemungkinan disebabkan tiada pameran tambahan seperti sebelumnya. Sebelum meninggalkan Muzium Negara, kami berkesempatan melayan satu laluan downhill pendek berumput yang bermatlamat untuk memberikan keyakinan diri pada Jus.
Memasuki terowong untuk ke Muzium Negara
Barisan basikal –basikal kami berlatarbelakangkan mural dinding Muzium Negara
Aksi – aksi 'nakal' kami di kolam air pancut. “Kids, don’t try this at home” ...
Mencuba kenderaan beroda dua yang terdapat di muzium.
Di bahagian hadapan Muzium Negara, berhampiran pintu gerbang
Menyambung perjalanan di bahagian awal fasa kedua, kami berempat melalui celah – celah perdu buluh kuning memasuki laluan lereng bukit dan kemudian naik ke atas sebuah permatang. Di sini kebolehan Jus mengendalikan basikalnya teruji kerana terdapat
downhill pendek yang mempunyai permukaan berlekuk (drop) di hujungnya. Berkat ajaran rakan – rakan, beliau dapat menuruni lereng tersebut dengan selamat pada percubaan kali pertamanya walaupun roda belakang basikal beliau hanya dilengkapi dengan brek jenis V (
V – brake).
Laluan yang menguji kemahiran dan keberanian Jus
Laluan seterusnya di fasa kedua lebih sukar berbanding ketika di fasa pertama laluan. Dimulakan dengan pendakian yang sudah tentunya menguji kemahiran menaiki bukit (uphill) masing – masing dan diikuti dengan laluan downhill sederhana panjang. Melepasi separuh perjalanan selepas melalui satu kawasan belukar yang berkanopi, terdapat satu laluan menurun (downhill) bertanah yang licin, mungkin kerana hari hujan pada hari sebelumnya. Semua peserta dapat melalui laluan tersebut dengan selamat, tetapi di sini berlakulah kejadian lucu akibat tindakan luar kawal seorang ‘peserta baru’ ketika berada di penghujung laluan downhill ini.
Berehat selepas melalui kawasan pendakian
Bergambar kenangan dengan berlatarbelakangkan pancutan air di tasik
Aksi peserta ketika menuruni laluan bertanah yang agak licin
Jus memenangkan diri selepas terjadinya aksi luar kawalan ketika menuruni bukit
Basikal peserta – peserta juga direhatkan dari deruan ‘adrenalin’ semasa menuruni kawasan berbukit yang licin ( :
Melepasi perjalanan naik - turun bukit, kami mula memasuki bahagian terakhir laluan. Laluan kami memasuki jalan landai di kawasan berakar yang berselari dengan trek jogging di sebelah kanan. Sebatang pohon jejawi menjadi penanda yang kayuhan di trail lama telah pun tamat. Melihat pada waktu yang masih sempat sebelum kami menghadiri majlis kenduri kahwin seorang sahabat pendakian, kami bersepakat untuk mencuba laluan yang baru pula.
Dalam perjalanan, kami berehat terlebih dahulu di sebuah pohon rendang untuk minum dan ada yang menambah ‘aras nikotin’ dalam badan. Banyak pula sessi fotografi dilakukan pada hari tersebut, kelihatan beberapa pengantin baru dan beberapa model sedang diambil gambar mereka. Dengan ini, berpeluanglah kami ‘mencuci mata’ dengan harapan agar mendapat kesegaran semangat untuk berkayuh nanti hihihihi ...
Puas berehat, kami meneruskan perjalanan memasuki bahagian tengah siarkaki taman dan kemudian ke bahagian atas untuk memasuki trail baru Taman Tasik Perdana. Saya yang buat kali kedua memasuki laluan ini, mengepalai rakan – rakan di belakang. Kelihatan beberapa bekas pembaikan laluan dilakukan oleh individu yang menjaga atau mungkin membuka laluan ini. Terima kasih atas usaha murni dan titik peluh kalian. Sebaik sahaja kami keluar dari trail baru ini, saya membawa rakan – rakan memasuki semula Taman Tasik Perdana tetapi kali ini mengikuti jalan di bahagian atas Taman Rusa dan Kancil sebelum menuruni laluan ke auditorium terbuka dengan hajat untuk melakukan aksi ‘urban downhill’ melalui kawasan bertangga di situ.
Hajat kami terpaksa dibatalkan, kerana terdapat seorang pengawal keselamatan sedang berada di situ. Beliau memandang kami dengan pandangan tajam, mungkin seolah – olah tahu niat kami memasuki kawasan itu. Melihatkan padanya yang seakan tidak mahu meninggalkan kawasan itu, kami kemudian berhenti rehat di sebuah airterjun buatan yang terdapat tidak jauh dari auditorium. Puas berehat, kami berempat meninggalkan airterjun buatan dan bergerak ke gerai makan di jalan Tangling untuk makan tengahari. Disebabkan semua bercadang untuk menghadiri kenduri kahwin, masing – masing hanya makan pisang goreng yang dijual di situ. Selepas membayar harga makanan dan minuman, kami bersalaman dan bersurai lalu masing – masing pulang ke destinasi tersendiri.
Hentian rehat terakhir kami di Taman Tasik Perdana, iaitu di sebuah airterjun buatan berhampiran kawasan auditorium terbuka.