Dah lama tak berkayuh di metropolitan Kuala Lumpur, rasa rindu pulak hehehe ... Lantas jemputan (event invitation) dibuat kepada semua rakan Pedal Krem Riders (selepas ini akan disebut sebagai PK Riders) melalui Facebook. Dari ramai - ramai, hanya dua orang yang menyahut seruan berkayuh. Yang lainnya samada bertugas, pulang ke kampung untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan 1432H, berkayuh di Putrajaya menyertai Putrajaya Critical Mass mahupun sibuk dengan urusan peribadi masing - masing.
Wakil dari PK Riders untuk kayuhan kali ini, Jus & Wakjan telah bersepakat meletakkan kereta masing - masing di Desa Pandan; sebelum berkayuh melalui Jalan Ampang Hilir, Persiaran Ampang Hilir dan memasuki Jalan Ampang menuju ke lokasi berkumpul di seberang jalan berhadapan Ampang Park.
Ohhh, sebelum lupa. Ingin diinfokan yang Kompleks Membeli Belah Ampang Park ini pernah diketengahkan dalam siri The Amazing Race musim ketiga sebagai destinasi 'wajib singgah' bagi peserta membuat tugasan iaitu menangkap gambar Menara Berkembar Petronas dan mencuci imej tersebut di kedai gambar yang dikenali sebagai Citifoto. Masih ingatkan anda semua ?
Nota:
Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Segala gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah hakmilik terpelihara saudara Jusrizal
Lokasi berkumpul di seberang jalan berhadapan Ampang Park
Selain dari jemaah kayuhan lain yang tidak dikenali, turut menemani Wakjan pada malam itu ialah geng rakan Kayuhan Pelbagai Ideologi iaitu saudara Bart, Pa'an, Afiq dan Ameera. Jumlah peserta pada malam itu agak berkurangan, tidak seperti Massa Kritikal: April 2011 yang lalu. Malam itu, individu yang biasanya mengetahui konvoi tidak kelihatan, membuatkan semua seakan terpinga - pinga tidak tahu bilakah masa untuk memulakan kayuhan.
Beberapa basikalis dan kumpulan kecil kelihatan telah memulakan kayuhan terlebih dahulu. Masa terus berlalu, dari jam 2130 (9.30pm) ke 2200, dan menjangkau ke jam hampir 2230. Melihatkan pada situasi ini, Bart mengajak kami berkayuh dan mengharapkan agar basikalis yang lain mengekori kami. Kumpulan kecil kami mula bergerak, dengan diikuti oleh beberapa basikalis lain. Kami memasuki Jalan Ampang, diikuti Jalan P Ramlee dan kemudian Jalan Pinang. Ketika di Jalan Pinang, jumlah basikalis telah menjadi semakin ramai dan nampaknya usaha kami berhasil.
Ketika kami memulakan kayuhan, masih ramai lagi basikalis yang menunggu
Dari Jalan Pinang, konvoi memasuki Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan dengan bangunan kompleks membeli belah Pavillion berada di sebelah kanan kami. Memasuki Jalan Bukit Bintang, kami kini telah memasuki kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur. Banyak kenderaan melalui jalan pada malam itu, membuatkan basikalis terpaksa mencelah di antara kesesakan lalu lintas. Bagi pengunjung tempatan mahupun luar negara yang menziarahi zon segitiga emas itu, ramai diantaranya merakamkan aksi kami berkayuh beramai - ramai menggunakan telefon bimbit mereka, mungkin kerana hairan tidak pernah melihat kelompok berbasikal yang sebegitu ramai seperti ini.
Sekelompok basikalis yang berehat sementara di siar kaki Pavillion
Mencelah dalam kesesakan lalulintas
Apabila jalan sesak, ada yang mengambil keputusan untuk menolak basikal
Melepasi Jalan Bukit Bintang yang sesak pada malam itu, konvoi memasuki Jalan Pudu, melepasi bangunan Puduraya di sebelah kiri jalan sebelum masuk ke Jalan Tun Perak dan melakukan hentian di Jalan Raja iaitu berhampiran Dataran Merdeka. Jus, Bart, rakan Bart (maaf, terlupa nama beliau) dan Wakjan mengambil lokasi di antara bangunan Panggung Bandaraya dan jambatan melintasi Sungai Gombak untuk berehat. Mengambil kesempatan dengan terdapat ramainya basikalis pada malam itu, beberapa peniaga bergerak membawa troli menjual minuman sejuk serta makanan ringan. Turut bersama kami di ketika itu, sekumpulan basikalis fixie dan sekumpulan remaja menunggang basikal BMX. Masing - masing dengan basikal yang dihias dengan pelbagai aksesori.
Dua orang pengayuh berbangsa asing turut berkayuh bersama kami pada malam itu
Membeli minuman dari 'peniaga troli', rezeki mereka memang bertambah pada malam itu dengan kehadiran ramai basikalis.
Di satu sudut, dipenuhi oleh pengayuh basikal BMX
Bart membeli dua bungkus kuaci, yang kemudiannya dikongsikan oleh kami bersama. Selang beberapa minit kemudian, kelihatan konvoi telah mula seorang demi seorang meninggalkan kawasan Dataran Merdeka untuk menyambung kembali kayuhan. Malam itu, Jus dan Wakjan mengambil keputusan untuk berpisah dari konvoi dan menyambung kayuhan ke Restoran Heritage Station di Stesyen Keretapi Kuala Lumpur bagi bertemu rakan - rakan rekreasi dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).
Setelah bersalaman, Bart dan seorang lagi rakannya menyertai kembali konvoi kayuhan, meninggalkan Jus serta Wakjan yang masih berada di situ untuk menghabiskan sebungkus kuaci yang telah dibuka. Selesai menghabiskan kuaci dan minuman dalam tin, mereka berdua bergegas meninggalkan perkarangan Panggung Bandaraya melalui Jalan Raja, kemudian memasuki Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Kinabalu, dan Jalan Damansara untuk ke bangunan Stesyen Keretapi Kuala Lumpur.
Di Restoran Heritage Station, mereka berdua menemui beberapa rakan serekreasi. Memesan makanan dan minuman sambil berborak tentang pengalaman berekreasi luar (outdoor) mahupun perancangan aktiviti akan datang. Lebih kurang sejam lebih di situ, Jus & Wakjan kemudiannya meminta diri untuk pulang kerana kereta keduanya diletakkan di Desa Pandan.
Dari Jalan Damansara, keduanya berpatah balik ke Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja lantas masuk ke Leboh Pasar Besar menghala ke Jalan Tun Perak. Dari Jalan Tun Perak, perjalanan kemudiannya melalui Jalan Pudu diikuti Jalan Changkat Tambi Dollah, Jalan Kampung Pandan sebelum tiba berhadapan Restoran KFC Desa Pandan dimana keduanya meletakkan kereta masing - masing disitu sebelum memulakan kayuhan pada malam itu.
Setelah meletakkan basikal ke dalam kenderaan masing - masing, kayuhan pada malam itu pun bersurai di tempat meletak kereta berhadapan Restoran KFC sekitar jam dua ke tiga pagi (maaf, lupa waktu sebenar hehehe).
Macam - macam karenah basikalis pada malam itu

No comments:
Post a Comment