ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

06 March 2011

Kayuhan Penyesalan: Bhgn 1

Prolog:
[oleh Adnan]

Kedatangan kami di lokasi kejadian < sengaja dirahsiakan > disambut dua orang sahabat dari Puchong Perdana dan Bandar Sunway, brader Daim dan Bad. Perkenalan kami menjebakkan diri mereka masuk ke lokasi hutan simpan di lokasi berkenaan. Hasilnya amat memberangsangkan dan amat meletihkan. Jika dilihat secara mata kasar, keadaan landai mungkin kelihatan serupa seperti trek offroad tetapi sebenarnyer trek untuk para pendaki mendaki di dalam kawasan hutan simpan kekal. 

Azabnya mendaki bersama 'buah hati' masing - masing, menyebabkan mereka (bukan kami hehehe) risau akan terpaksa bermalam di hutan berkenaan. Disebabkan mereka hanya 'kaki basikal' bukan 'kaki outdoor' seperti kami chewaahhh ... Ini adalah diantara gambar - gambar yang sempat dicapture sepanjang perjalanan kami ... Sekian, majulah sukan untuk diri sendiri ...

Nota: Artikel di atas serta gambar - gambar yang digunakan diambil dari album laman Facebook saudara Adnan. Segala gambar adalah hakcipta terpelihara beliau dan saya secara peribadinya mengucapkan terima kasih kepadanya. Perkataan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut, imej beresolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar.

Pendahuluan:
Sudah beberapa tahun berlalu semenjak kunjungan kedua terakhir saya ke Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam atau nama ringkasnya Bukit Cherakah, sekitar akhir '90an. Ketika itu saya dan seorang rakan sepengajian di Malaysia France Institute bernama Sanjay Brahmandan menyewa basikal dan mengelilingi seluruh kawasan taman pertanian itu. Antara tempat yang kami singgahi ialah Empangan Sungai Baru dimana terdapat satu laluan rentas hutan (jungle trekking). Pada hari itu, kami kesuntukan masa untuk merentasi laluan tersebut, menyebabkan niat itu terpendam sahaja sekian lama.

Idea untuk mencuba laluan Empangan Sungai Baru tersebut, tercetus kembali setelah kami berjaya menemukan laluan offroad Bukit Bandaraya pada 22.01.2011 lalu. Sekian lama, saya cuma mengetahui yang pengunjung tidak dibenarkan membawa basikal masuk ke dalam kawasan taman selain menyewa basikal - basikal yang disediakan dengan bayaran tertentu mengikut kadaran jam. Berhasrat untuk mencuba laluan rintis Empangan Sungai Baru secara makruh (bukan haram yek), saya menyatakan hasrat berkenaan pada Adnan iaitu dengan idea membayar harga tiket masuk dan kemudian membawa basikal melalui pagar yang terpotong di tepi tasik Bukit Bandaraya.

Sehari sebelum kejadian:
Malam 18.02.2011, saya menghabiskan Friday night (chewaaahhh) dengan melepak bersama teman - teman OGKL  selepas menyelesaikan urusan rakan - rakan yang akan bertolak ke Perak untuk satu ekspedisi berkayak dan eksplorasi di hutan Royal Belum. Ketika meminjam telefon Black Berry milik seorang rakan untuk melayari Facebook, saya terbaca entry Adnan di wall saya bertanyakan tentang aktiviti kayuhan keesokan hari. Pertanyaan tersebut sengaja saya biarkan tidak berjawab, sambil otak ligat memikirkan apa aktiviti yang ingin dilakukan esok.

Beberapa jam sebelum kejadian:
Saya tiba di rumah sekitar jam 0400 pagi, mendapatkan tidur yang diinginkan. Esoknya bangun seawal pagi, menghantar SMS pada Adnan tentang 'projek makruh' seperti yang pernah direncanakan. Berjanji dengan beliau hendak berjumpa di rumahnya pada jam 1000 pagi, sebelum kemudiannya saya menyambung sedikit lagi tidur demi untuk mendapatkan rehat yang berkualiti hehehe ...

Pagi itu, saya tiba dirumahnya lewat 5 minit seperti yang dijanjikan, Adnan meletakkan basikalnya ke atas roof rack kereta saya dan kami pun meninggalkan kediamannya. Dalam perjalanan, Adnan mengajak saya bersarapan dan kami bersepakat untuk bersarapan di sebuah restoran di seksyen 18. Setibanya kami disitu, orang kelihatan telah membanjiri restoran tersebut tetapi mujurlah terdapat satu meja yang kosong. Kami berdua duduk di meja luar, dan beberapa minit selepas itu ternampaklah akan saya satu susuk tubuh yang dikenali. Shahir, salah seorang saudara yang berpangkat pakcik pada saya meletakkan motorsikalnya. Saya terus menyapa beliau, dan mengajaknya bersarapan sekali. Pelawaan saya bersambut, dan pagi itu kami memesan roti telur atau roti canai bersama minuman kegemaran.

Dalam pada menunggu 'roti telur potong banjir' tiba, saya sempat ke kedai sebelah untuk membeli sebungkus besar mee segera dan kuaci yang cadangnya untuk dimakan semasa berhenti rehat di Taman Pertanian nanti. Agak lambat servis restoran, mungkin kerana jumlah pelanggan pada hari itu ramai. Sesampainya sahaja hidangan kami, masing - masing tidak membuang masa terus menikmati hidangan. Selesai sahaja makan dan membayar, kami bertiga bersalaman dan berpisah pada hala tuju tersendiri.

Di tempat kejadian:
Kami tiba di Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam hampir atau mungkin lebih sedikit dari jam 1100, saya memandu kereta ke pintu masuk terhampir dan kemudian meminta tolong Adnan untuk membeli tiket masuk. Tiket masuk menjadi syarat utama 'projek makruh' kami ini dan dapat dijadikan sokongan kalau kami tiba - tiba terkantoi hehehe ... Sampai disitu, kami bersua dua pemuda (pangkat abang kalau dilihat dari paras rupa) sedang berbasikal. Mereka berdua nampak keletihan dan berehat di pagar tepi jalan masuk ke Taman Pertanian. Adnan bertanyakan pada mereka sesuatu, yang kemudiannya saya diberitahu bahawa sekarang pengunjung dibenarkan membawa masuk basikal sendiri. Ciiissss, rosak 'projek makruh' kata saya dalam hati, dah tak thrill lagilah camni huhuhu ... Abang berdua itu tidak dapat memberikan kata putus mereka, dan saya berkata pada mereka ingin mencari tempat meletakkan kereta dahulu.

Semasa kami berdua mempersiapkan diri dan basikal, seorang dari mereka datang menghampiri dan memberitahu bersetuju untuk menemani kami berkayuh. Pintu kereta dikunci dan kami berdua datang ke tempat abang berdua itu. Saya memberitahu hajat kami untuk mencuba laluan Empangan Sungai Kuning & Empangan Sungai Baru. Mereka berdua menyatakan yang mereka akan mengikuti kami sejauh mana termampu. Tambahnya lagi, sudah dua minggu berturut - turut mereka memasuki Taman Pertanian ini untutk berkayuh. Tanpa membuang masa, kami semua terus bergegas ke kaunter untuk membeli tiket. Tiket berharga RM3 dibeli, kemudiannya kami memasuki pintu kaunter dengan gaya yang berbeza dari pengunjung lain iaitu membawa basikal hahahaha ...


 Ini tiket 'masuk' bukan tiket 'mabuk' !! jangan marah ...


Selesai membeli tiket, brother berdua tu sempat membeli minuman di kedai berhampiran kaunter tiket


Proses membeli tiket selesai, kami masuk dan saya terus ke satu papantanda untuk mengetahui dan menghafal laluan. Seorang dari abang - abang tu mengambil sehelai kertas bersaiz A4 yang mempunyai peta laluan Taman Pertanian dari kawasan kaunter, satu tindakan spontan yang bijak !! Kemudiannya kertas itu dihulurkan pada saya dan saya diminta menjadi guide untuk kayuhan hari itu. Alamak, belum sempat lagi nak hafal peta. Mentang - mentanglah kawan - kawan gelarkan saya 'biro ukur jalan', masuk Taman Pertanian ni pun kena bertugas juga aduhaiii ... Oopppsss sebelum terlupa, kami belum mengenalkan diri masing - masing. Selepas bersalaman dan memberitahu nama masing - masing, saya kini mengenali abang berdua tu sebagai abang Daim dan Bad. 

Saya menghala ke satu jalan yang mana di kiri dan kanannya satu masa dahulu terdapat kawasan penanaman padi, tapi hari itu sudah tiada lagi. Jalan mula mendaki tapi pada kecuraman yang sedikit. Terdapat ramai juga remaja yang menyewa basikal hari itu, dan basikal dari jenama GT kelihatan banyak di jalanan. Ini cukup berbeza semasa zaman saya menyewa basikal lebih kurang beberapa tahun lalu dimana jikalau lambat, kita cuma akan dapat menyewa basikal yang teruk keadaannya. Di satu persimpangan, kami memasuki jalan menuju ke arah Empangan Sungai Kuning. Aduhhh, pendakian yang panjang pun bermula. Masing - masing menukar gear untuk mendapatkan kesesuaian semasa mendaki. Pendakian diakhiri dengan laluan downhill hingga tiba di persimpangan masuk ke Empangan Sungai Kuning yang terdapat satu pintu gerbang.


 Baru tiba di Empangan Sungai Kuning setelah berhempas pulas melalui jalan pendakian


Info Empangan Sungai Air Kuning


 Gerbang ke jalan masuk Empangan Sungai Air Kuning


Brader Bad & Daim minta berehat dahulu ...


Di kawasan rehat berhampiran pintu gerbang ke Empangan Sungai Kuning, abang Daim dan Bad memohon untuk berehat, tetapi tidak berjanji untuk mengekori kami. Saya dan Adnan tiada masalah dengan itu, lalu memohon diri untuk pergi ke destinasi yang dituju. Perjalanan dari pintu gerbang ke Empangan Sungai Kuning itu cuma menuruni laluan bertar sampai lah betul - betul di hadapan tasik. Terdapat satu kabin di sebelah kiri, mungkin sebagai pejabat tempat pendaftaran untuk memancing. Juga terdapat pelantar kawasan berbumbung yang dikhaskan untuk memancing, serta satu pondok yang dibuat khas untuk dijadikan mussola (tempat solat). Di sini, saya cuma menjadi jurugambar dan seperti biasa, Adnan disuruh menjadi model secara 'paksa - rela' hehehehe ...
 Salah satu pelantar khusus untuk pemancing ikan, diulangi, pemancing bukannya basikalis hehehe ...


Terdapat juga pelantar yang mempunyai ruangan berbumbung


Pondok utama di hadapan pelantar berbentuk T


Konsep 'tangkap dan lepas' nampaknya harus diamalkan di sini ...


Papantanda Empangan Sungai Air Kuning yang sungguh kelihatan lusuh ...


Berhampiran papantanda Empangan Sungai Air Kuning yang telah pun pudar, kami ternampak sebuah lagi papantanda bertulis Trek Hutan ke Empangan Sungai Air Baru. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah bergambar kenangan di situ, kami berdua dengan rasa ingin tahu yang mendalam, ingin melalui laluan tersebut untuk mengetahui kemana kah penghujung laluan tersebut. Laluan itu bermula dengan laluan bersimen sejauh beberapa ratus meter sahaja, sebelum kemudiannya bertukar ke denai hutan. Laluan adalah sedikit sukar bila terpaksa melalui pokok - pokok resam dimana pokok tersebut akan tersangkut pada handlebar dan juga RD kami. Sebahagian laluan adalah basah, kerana betul - betul terletak di pinggir tasik. Pemandangan di situ sungguh mendamaikan ...Ohh iye, sebelum memasuki denai tersebut, sebenarnya kami memberikan sedikit masa jikalau abang Daim & Bad hendak mengikuti kami. Tetapi setelah beberapa minit menunggu, tiada juga kelibat mereka singgah di sini dan kami terpaksa juga meneruskan perjalanan memasuki denai.


Sebelum memasuki denai hutan ke Empangan Sungai Baru


Jalan bersimen di permulaan laluan bertukar pada laluan hutan. Terdapat satu kawasan pokok tumbang yang agak berlumpur dimana kami terpaksa memilih antara laluan asal mahupun laluan alternatif yang terdapat di sebelah kanan. Jika kami sekadar trekking, jalan di sebelah kanan pastinya akan menjadi pilihan sebab ia lebih mudah. Tetapi tidak semudah membawa basikal melalui jalan tersebut. Aduhhh, basah kasut kami ...


Nak basikal kotor ke tuan punya yang kotor ? Hmm, saya pilih biarlah basikal yang kotor ( :


Laluan yang kiri dan kanannya dipenuhi tumbuhan resam yang tumbuh melata
Terdapat sebahagian laluan yang berair atau becak, tumbuhan resam yang menutupi permukaan jalan kadang - kadang agak merbahaya kerana ia membuatkan kita menyangka yang pinggir tasik tersebut adalah denai. Laluan seterusnya sampai di sebuah titi kayu, yang di bawahnya terdapat seakan saliran air, mengalir ke arah kanan laluan seperti sebuah parit yang digali. Saya melalui titi tersebut untuk menguji kekuatannya, sebelum membenarkan Adnan melalui dengan basikalnya. Melepasi titi tersebut, jalan adalah menghala kekanan dan mula menjauhi tasik. Terdapat satu tumbuhan melintang seolah gerbang rimba yang kita terpaksa menunduk untuk melaluinya.
 Adnan menguji kekukuhan titi kayu tersebut, sebelum menaiki basikalnya untuk melintasi jurang


"Tunduk, tunduk .. kang basikal yang pergi dulu" hehehehe ...


Dari situ, terdapat satu pendakian kecil menghala ke arah permatang berbukit. Dengan beberapa kali henjutan, dapatlah dinaiki bukit kecil itu. Beberapa puluh meter dihadapan, terdapat satu persimpangan. Ke kanan terdapat satu denai yang kelihatan menghala ke tepi parit manakala ke kiri laluan yang mungkin betul kerana terdapat tali plastik berbelang merah - putih diikat pada batang pokok sebagai tanda. Kami memilih untuk ke kiri. Jalan kemudian berselang seli antara landai dan sedikit pendakian, sebelum kami berdua tiba di satu lagi laluan pendakian terakhir untuk sampai ke kawasan landai. Setelah diteliti, kawasan landai itu merupakan jalan bertar yang mungkin sudah lama tidak digunakan. Rumput - rumpai sudah kelihatan tumbuh di permukaan jalan, dengan sekali sekala terdapat halangan berupa dahan pokok tumbang untuk kami hadapi. Jalan bertar di pinggir hutan itu membawa kami keluar ke sebuah jalan bertar menghala ke Empangan Sungai Baru, dimana terdapat pagar untuk menghalang kenderaaan masuk di situ.


Sedikit pendakian untuk sampai ke kawasan permatang


Bukit terakhir, sebelum menjumpai laluan bertar usang di pinggir hutan
 Selepas bukit terakhir, kita akan menjumpai laluan bertar lama dan terus landai berserta downhill hingga ke hujung laluan


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G


No comments: