ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

09 March 2011

Kayuhan Penyesalan: Bhgn 2

Bersambung dari bahagian 1

Masih di hari dan tempat kejadian:
Pagar halangan kenderaan tersebut membawa kami ke satu persimpangan tiga. Di kanan adalah jalan utama yang kelihatan baru bertar semula manakala arah ke kiri terdapat satu jalan tar pendek ke sebuah kawasan berpagar. Kami mengikuti jalan utama, dan tidak lama kemudian ternampaklah akan kami papantanda tertulis arah ke Empangan Sungai Baru. Semasa ke empangan tersebut, kami dikagumkan oleh satu papantanda yang mempunyai gambar landak. Selepas bergambar di situ, perjalanan diteruskan dan tidak berapa lama kemudian dengan sedikit pendakian, sampailah kami di Empangan Sungai Baru. Kami menikmati pemandangan di satu pelantar terapung, kemudian layan downhill pula ke arah bawah empangan untuk bergambar.


Adnan mencari motif papantanda tersebut diletakkan di situ


 Papantanda maklumat mengenai Empangan Sungai Baru


Sejarah Empangan Sungai Baru


Berlatarbelakangkan empangan Sungai Baru


Layan downhill sampai ke bahagian bawah empangan


Adnan berlatarbelakangkan dinding empangan


Selesai 'berseronok' turun bukit ke empangan tu dan bergambar, kami menaiki semula ke arah empangan. Melintas ke seberang untuk ke pelantar terapung yang kelihatan baru. Di sini kami mengeluarkan kudapan untuk dimakan, hasrat nak masak mee segera terpaksa dibatalkan kerana masing - masing belum lagi lapar. Apa taknya, sarapan pagi dah pekena dua keping 'roti telur potong banjir' hahahaha ... Jadi sebagai gantinya, makan ajelah kuaci ataupun disebut sebagai 'makanan hamster' hehehe ... Dalam pada kami melepak di situ, ternampaklah oleh kami dua orang berbasikal yang seakan dikenali dari jauh. Rupanya, abang Daim & Bad yang turut datang ke kawasan itu. Kami menjerit memanggil - manggil supaya mereka datang ke arah kami. Kini, kami berempat pula yang melepak di pelantar terapung itu.


Pelantar terapung tempat kami melepak, terletak di seberang kawasan ternakan ikan dalam sangkar


Antara kudapan dan peralatan yang dibawa


 "Woiiittt, makan kuaci pun boleh stim ke hahahaha" ...


Setelah puas melepak, saya mengajak semua untuk mencuba laluan offroad Empangan Sungai Baru pula. Abang Daim dan Bad bersetuju untuk mengikuti kami kali ini. Kami memasuki arah ke laluan offroad yang hendak dicuba itu. Rupanya, apa yang saya hendak cuba selama ini adalah laluan ini, dan bukannya Empangan Sungai Kuning ke Empangan Sungai Baru. Setelah cuba mengingati keadaan sekeliling, memang pasti inilah tempat yang saya pernah hendak mencuba beberapa tahun dahulu. Tetapi, pada masa itu saya hanya sempat masuk beberapa puluh meter sahaja ke dalamnya kerana kesuntukan masa. Jadi, saya langsung tiada idea atau info tentang keadaan dan jarak trek.


 Melintasi empangan untuk ke laluan offroad Empangan Sungai Baru


Papantanda arah masuk ke permulaan denai hutan


Di permulaan trek, terdapat satu papantanda amaran tentang kemasukan ke laluan tersebut. "Ahhh, peduli apa pasal permohonan kebenaran tu, agaknya tak jauh pun trail ni kot", bisik saya dalam hati. Perjalanan didahului oleh Adnan, diikuti di belakangnya oleh abang Daim, abang Bad dan saya selaku sweeper. Baru sahaja beberapa puluh meter perjalanan, tiba - tiba abang Bad yang berada di depan saya tergolek dan ditimpa basikalnya. Setelah saya selidiki, rupanya beliau telah mengunci suspensi hadapannya. "Laaa, patutlah tergolek, abang lock fork depan rupanya" kata saya pada beliau. Saya sempat mengajar beliau teknik 'bend', iaitu membelakangkan punggung dan badan dari tempat duduk untuk mendapatkan pusat graviti yang betul. Memang benar lah pengakuan beliau, yang basikal ini baru sahaja dua minggu dibeli dan dalam tempoh tersebutlah beliau berjinak - jinak dalam arena MTB ini.


Amaran: Sila dapatkan kebenaran dari pihak Pengurusan Taman Pertanian terlebih dahulu sebelum  memasuki denai ini !!


Petikan terjemahan Al Quran, Surah Al A'raf


Tidak beberapa jauh di hadapan, terdapat sebatang pohon kayu tumbang melintasi laluan. Hendak lalu di bawah, tidak muat. Maka terpaksalah kami mengangkat basikal masing - masing untuk melalui halangan tersebut. Pokok tumbang ini menjadi wakil pertama kepada beberapa lagi pokok tumbang yang terpaksa kami lalui sepanjang laluan itu, sabar ajelah aduhaiii ...


Pokok tumbang pertama yang kami lalui, permulaan pada beberapa batang pokok lagi yang tumbang sepanjang perjalanan


Ada diantara beberapa laluan berbukit yang sukar untuk kami kayuhi, bermakna kami terpaksa memikul basikal kami untuk naik ke atas. Menyesal pula saya bawa Polygon Axion yang berat ni, kalau tahu bawa Jamis X Trail 2.0 aje pun dah cukup huhuhu ...


Ada ketikanya, basikal perlu dipikul naik ke atas ...


 Wakjan dah kehabisan daya untuk memikul basikalnya ...


Perjalanan naik turun lembah, bukit dan halangan pokok tumbang seterusnya membawa kami ke sebuah anak sungai yang terdapat satu airterjun kecil. Sebelum tiba di sini, kami melintasi sebuah jambatan konkrit kecil melintasi sungai itu. Di sini, kami berempat mengambil peluang berehat sementara meninjau suasana hutan.


 Airterjun mini yang terdapat di sebelah tepi laluan


 Berehat sebentar di sekitar kawasan airterjun mini.


Bibit penyesalan mula bermain di fikiran saya, kenapalah aku masuk laluan ni aduhaiii ... Tapi, pantang saya berundur sebelum melawan. Konsep 'target - lock - ride' yang selalu digunakan menghalang saya dari bertukar fikiran untuk berpatah balik. Terkadang, terkeluar beberapa pertanyaan dari mulut abang Bad yang bertanyakan macam - macam. Mungkin beliau tak biasa dengan keadaan hutan pada fikiran saya. Atau mungkin beliau sudah merasa risau dengan perjalanan kami yang seolah tiada titik noktahnya. Adnan dan abang Daim agak laju di hadapan, pada beberapa laluan menarik mereka seolah - olah menikmati trail yang tersedia. Di satu bahagian yang rata dan agak lapang, kami berehat lagi. Hari dan langit seolah - olah gelap mahu hujan.


 Berehat lagi. Nasib saya ada membawa lebihan minuman untuk dikongsikan bersama


Kami meneruskan perjalanan, sampai di sebuah persimpangan tiga yang tidak ditandakan dengan keratan plastik merah - putih seperti kebiasaan dan langsung tidak mempunyai sebarang papantanda penunjuk arah. Ketika ini, kami telah berpecah kepada dua. Adnan dan abang Daim telah laju dihadapan meninggalkan kami berdua di belakang. Saya cuba menjerit untuk bertanyakan arah, malangnya jeritan saya tidak disahut oleh mereka berdua. Yakin dengan halatuju dan arah yang mungkin diambil oleh mereka berdua, saya mengarahkan abang Bad untuk mengambil haluan terus bagi menyambung perjalanan. Selang beberapa minit selepas itu, hujan mula turun dengan lebatnya. Saya berhenti, menyimpan dompet dan telefon bimbit kedalam plastik untuk memastikan keselamatan keduanya. Abang Bad juga menghulurkan telefon bimbit beliau untuk saya simpankan. 

Tidak lama kemudian, kami berjumpa kembali kumpulan yang telah menunggu di hadapan. Saya dan Adnan berbincang tentang perjalanan kami, kami berdua memutuskan untuk pergi sejauh mungkin selagi hari masih cerah. Dalam hati saya berbisik, " i know that i can count on you, my 'bomba' friend". Setelah memastikan kesemuanya berkeadaan baik, kami meneruskan perjalanan dan laluan berikutnya memang terlalu sukar kerana bukit yang curam, ditambah dengan permukaan hutan yang licin akibat dibasahi hujan. Adnan telah menggagahi dirinya membawa basikal, walaupun cara dirinya membawa basikal seolah - olah sedang mengheret seekor lembu. Tidak larat untuk saya ketawa dalam keadaan serba kepayahan itu. Abang Bad mula bersuara yang beliau telah tiada daya untuk membawa basikal naik ke atas kerana hanya makan sekeping roti canai semasa bersarapan. Kemudian terlihatlah Abang Daim dan Bad bersepakat bersama - sama membawa sebuah basikal pada satu masa. 

Saya memintas kedua - duanya, dah telah mula berfikir sesuatu dalam fikiran saya. Sampai di bahagian atas pendakian yang curam itu, saya meletakkan basikal di satu sudut dan mendapatkan Adnan. Beliau bertegas untuk keluar dengan segera selagi hari masih cerah. Keputusan beliau saya persetujui, tapi dengan syarat saya harus memasak mee segera terlebih dahulu untuk memberi tenaga yang sangat - sangat diperlukan oleh abang Bad. Bagi saya, memasak mee segera pada ketika ini bukan sahaja dapat memberikan sikit tenaga, tetapi dapat juga sedikit sebanyak memulihkan mental beliau. Pengalaman acap kali menjadi sweeper semasa mendaki gunung saya manfaatkan dalam menghadapi situasi ini. Adnan mengambil keputusan untuk membuat tinjauan ke bahagian atas laluan, sementara saya menyiapkan mee segera untuk diberikan pada abang Bad dan Daim. 

Beberapa minit berselang, Adnan turun dan menyatakan belum lagi berjumpa hujung  jalan sebaliknya menyatakan tiada lagi laluan pendakian curam seperti yang telah kami lalui sebentar tadi. Mee segera siap dimasak, lalu diberikan pada abang Bad. Beliau kelihatan berselera menikmati mee segera tersebut. Selesai makan, beliau memberikan pula pada abang Daim untuk dikongsikan. Kata - kata dari abang Bad yang tidak mungkin saya lupakan, "inilah megi paling sedap dalam dunia pernah aku makan" hehehehe ... Abang Daim menjamah sedikit, lalu kemudian memberikan pula pada saya. Saya turut makan, manakala sebahagiannya saya berikan pada Adnan untuk dihabiskan.


 Terpaksa survival, sudu garfu tidak dibawa makanya ranting kayu dijadikan chop - stick


Tiba - tiba, Adnan mendapat satu idea. Beliau ingin menghubungi pihak pengurusan Taman Pertanian bagi mendapatkan makluman, tetapi bukanlah dengan niat untuk mendapatkan pertolongan. Mujurlah peta taman pertanian masih saya simpan dan berkeadaan baik, panggilan telefon berjawab dan kedengaran Adnan bercakap dengan pihak terbabit. Selepas menghabiskan perbualan, Adnan memberitahu yang laluan tersebut mengambil masa sejam setengah ke dua jam jika trekking, puncaknya bernama Bukit Sapu Tangan dan terdapat satu menara tinjau disitu. Selesai mengemaskan barangan memasak, kami menyambung perjalanan melalui satu kawasan lereng bukit. Dari situ, kami sudah dapat mendengar bunyi kenderaan yang mana saya anggarkan datang dari arah Lebuhraya NKVE. Adnan kemudiannya mengambil keputusan untuk meninggalkan basikalnya dan meninjau kawasan di bahagian atas. Beliau kemudiannya pulang dengan berita yang cukup menggembirakan kami bertiga, telah nampak sebuah menara tinjau di puncak bukit !! 

Laluan pendakian terakhir terpaksa kami lalui, tetapi dengan keadaan yang kurang sukar berbanding sebelum berhenti untuk makan mee segera. Tidak beberapa lama selepas memikul basikal masing - masing, ternampaklah oleh kami binaan menara tinjau. Jam pada masa itu tepat menunjukkan waktu lima petang. Masing - masing menarik nafas lega, tidak kurang ada yang berbaring melepaskan rasa penat melalui perjalanan yang panjang untuk hari itu. Abang Bad kemudiannya menelefon rakannya iaitu encik Kudin, untuk memberitahu yang esoknya beliau tidak jadi mengikuti kayuhan ke Bukit Ramli. Menurut abang Daim dan Bad, mereka baru sahaja ke sini pada minggu lepas bersama rakan - rakan kayuhan lain.


Masing - masing lega setelah menjumpai menara tinjau


 Perasaan lega jelas kelihatan di wajah mereka ...


Abang Bad menghubungi rakan untuk membatalkan kayuhan ke Bukit Ramli keesokan harinya


Abang Daim menunjukkan kesan luka di lengan beliau


Peta Taman Pertanian yang tidak mempunyai skala dan arah utara, tetapi mujurlah ada diletakkan nombor telefon untuk kami hubungi.


Selesai berehat, mendapatkan nombor telefon dan akaun Facebook masing - masing, kami meninggalkan menara tinjau menuruni laluan bertar yang sungguh menyenangkan dengan hanya sedikit sahaja laluan pendakian. Laluan tersebut membawa kami satu persimpangan tiga, kami mengambil ke arah kiri dan tidak beberapa lama kemudian sampailah di simpang empat berhampiran gerbang masuk ke Empangan Sungai Kuning. "Laaa, sampai kesini rupanya huhuhuhu" ... Dari situ, kami ke arah kanan menuruni jalan bertar lalu sampai ke sebuah kolam renang awam. Abang Daim dan Bad yang pernah kesitu pada minggu lepas, mengajak kami mandi di kolam sebelum pulang.


 Satu dari papantanda unik yang terdapat dalam kawasan Taman Pertanian


 Papantanda info Menara Tinjau Bukit Sapu Tangan


Di kolam renang, acara renangan didahului oleh abang Daim dan Bad yang kemudiannya disusuli oleh saya dan Adnan. Saya hanya mandi sekejap sahaja, kerana bimbang terlalu letih dan kehabisan tenaga untuk pulang ke arah tempat letak kereta. Sempat juga saya membasuh basikal, ketika itu Adnan nampaknya seolah tidak puas - 'berkubang' di kolam renang. Perlakuan membasuh basikal di tempat membilas badan berhampiran kolam renang tersebut kemudiannya turut diikuti oleh mereka bertiga.


Berenang sudah, masa untuk memandikan 'buah hati' pula ( :


Adnan berangan seolah sedang bercuti di tempat peranginan mewah


Berenang sudah, mencuci basikal pun sudah. Tibalah masa untuk kami meninggalkan kolam renang tersebut dan bergegas ke arah pintu keluar. Perjalanan pulang adalah mengikut laluan dalam sebelum memasuki semula laluan utama. Ketika kami tiba di tempat meletak kereta, hanya tinggal beberapa kenderaan sahaja yang masih terdapat di situ. Kami berpecah sementara untuk meletakkan basikal, sementara abang Daim dan Bad terus ke arah van mereka yang diletakkan agak jauh ke depan. Selesai menguruskan hal saya dan Adnan, kami berdua membawa kereta ke sebelah van mereka. Sempat kami meminta maaf kepada mereka, kerana telah menjebakkan keduanya ke satu perjalanan yang sukar. Maaf kami diterima, sambil mereka menyifatkan kayuhan hari itu sebagai 'a ride for a lifetime'. Sesudah bersalaman, kami berdua meninggalkan kawasan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam dan abang Daim serta Bad dengan satu kenangan yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kami. TAMAT ...

AMARAN KERAS: Tidak disyorkan sama sekali untuk berkayuh melalui denai hutan dari Empangan Sungai Baru ke Bukit Sapu Tangan !!


No comments: