Selesai berkayuh di acara amal "Ride 4 Gaza", beberapa orang antara kami bercadang untuk berkayuh di Paya Indah Wetlands (PIW) yang terletak di Dengkil dan bersempadankan daerah Kuala Langat. Plan asal sebenarnya selepas Ride 4 Gaza ialah untuk masuk trail offroad di Taman Cabaran Putrajaya kerana sudah lama tidak kesana. Tetapi ajakan kuat Mohd Bukhari malam sebelumnya membuatkan saya termakan 'racun' beliau dan bersetuju untuk berkayuh di Paya Indah Wetlands. Lagipun, laluan yang akan kami masuki ini belum pernah dilalui oleh basikalis luar selain staf Jabatan Perhilitan PIW itu sendiri. Itulah yang menjadi punca utama saya bersetuju untuk mengikuti beliau dan rakan - rakan Wild Outdoor Adventure (WOA).
Dari laman parkir bersebelahan Istana Kehakiman Putrajaya, kami berempat (Izzat, Bulat, Adnan dan saya) bergerak menuju ke sebuah restoran yang terletak di antara deretan kedai baru berhampiran persimpangan masuk ke perkuburan Presint 15 Putrajaya. Setelah makan tengahari di situ, kami bersama - sama meninggalkan restoran dan menuju ke PIW. Ketika kami tiba di sana, waktu Zohor telah hampir masuk dan kami terus ke surau untuk menunaikan kewajipan. Semasa kami tiba di surau, saya telah ditegur oleh seorang pengawal yang menyuruh kami mendaftar terlebih dahulu di kaunter sebelum masuk ke kawasan PIW. Saya cuba menenangkan beliau dan berkata yang kami akan mendaftar selepas menunaikan solat.
Selepas bersolat dan beredar dari kawasan surau, kami terus bergegas ke kaunter pendaftaran. Pendaftaran masuk adalah percuma, kami kemudiannya diberikan satu pas kenderaan. Saya membawa kenderaan ke kawasan parkir yang terletak di sebuah kafe. Basikal diturunkan dari bicycle roof rack dan saya pula mengambil basikal Polygon Axion yang dipinjamkan pada seorang rakan untuk beliau berkayuh semasa Ride 4 Gaza pagi tadi.
[Penghargaan untuk gambar - gambar yang diambil dari album di laman Facebook saudara Azuwer Abd Tawab dan Adnan. Klik pada gambar untuk melihat imej yang lebih beresolusi tinggi]
Bell, maskot rasmi untuk kayuhan kami di PIW
Membuat persiapan teknikal pada basikal masing2
Mohd Bukhari (kanan) menukar tayar beliau dari tayar road ke tayar offroad
Sebelum memulakan kayuhan, kami dikehendaki mengisi borang idemnity & liability atas arahan pihak Perhilitan bersama butiran peribadi kami. Isi kandungan borang tersebut antaranya menyatakan pihak berkenaan tidak akan bertanggungjawab ke atas segala kecederaan, kematian, kehilangan dan kerosakan harta benda sekiranya ia berlaku pada peserta. Selesai mengisi serta menyerahkan borang, kami membuat persiapan terakhir sebelum bergerak masuk ke bahagian dalam kawasan PIW lebih kurang jam 1400.
Emilly Joeneh, selaku jurupandu arah kami untuk hari itu
Konvoi kayuhan kami diketuai oleh Emilly Joeneh, bekas kakitangan Perhilitan PIW yang kini telah bertukar ke ibu pejabat. Konvoi kami kemudiannya memasuki kawasan melepasi sebuah palang dimana kawasan ini tidak dibenarkan masuk untuk orang awam. Di sini, Emilly memberikan taklimat ringkas mengenai laluan perjalanan kami. Selesai taklimat, perjalanan dimulakan dengan melalui jalan berbatu (gravel) yang landai
Emilly memberikan taklimat ringkas pada semua peserta
Memulakan perjalanan selepas taklimat diberikan
Hentian pertama kami ialah sebuah jeti terapung di sebuah tasik. Masing - masing tidak melepaskan peluang untuk membawa basikal ke atas jeti dan juga bergambar kenangan. Di sini terdapat sebuah bangunan yang meletakkan beberapa buah kayak milik Perhilitan PIW.
Menikmati pemandangan tasik yang luas dan indah
Bergambar kenangan di atas jeti terapung
Dari tepi tasik, perjalanan diteruskan melalui jalan besar yang landai sehingga bertemu sebuah jambatan, dimana di hadapannya terletak sebuah rumah kayu yang bercirikan senibina tradisional Terengganu. Rumah ini dibuat di Terengganu secara pasang - siap dan dipasang semula di PIW, pembinaan rumah ini dibiayai oleh Permodalan Nasional Berhad atau ringkasnya PNB.
Tidak jauh dari rumah tersebut, terdapat sebuah jeti terapung usang yang masih boleh digunakan. Terdapat juga satu reban ayam dan beberapa ekor ayam yang masih hidup di dalamnya. Haiii, siapa pulak yang membela ayam ni huhuhu ... Membaca papantanda info berkaitan pembinaan rumah ini, tertulis pernyataan mengenai pembinaan rumah yang tidak menggunakan sebarang paku. Fakta tersebut saya sangkal setelah melihat terdapatnya penggunaan paku ketika meneliti secara dekat binaan rumah tersebut.
Meninggalkan kawasan hentian pertama dan menyusuri laluan untuk ke hentian kedua
Tiba di hentian kedua, rumah tradisional senibina Terengganu
Rumah tradisional warisan senibina Terengganu dari pandangan hadapan
Bergambar kenangan ala album hari raya
Bersiap sedia sebelum meninggalkan perkarangan rumah tradisional
Kami meninggalkan rumah tradisional, memasuki persimpangan ke kanan selepas jambatan. Di sini, laluan berada di tengah - tengah antara dua tasik dimana di sebelah kiri merupakan tasik besar yang lapang manakala di sebelah kanan tasik yang dipenuhi pokok resam di dalamnya. Memasuki satu laluan yang lurus, terdapat beberapa kawasan berpasir yang menyebabkan tayar hadapan basikal kami kadangkala sukar dikawal haluannya. Hentian ketiga kami merupakan penghujung pada dua laluan dimana di sini terdapat sebuah tasik yang airnya berwarna kebiru - biruan. Menurut Emily, tasik ini merupakan satu - satunya tasik yang warna airnya berlainan berbanding tasik - tasik yang lain. Di penghujung tebing ini, kami bergambar kenangan beramai - ramai.
Laluan di antara dua tasik di kiri dan kanan
Di tebing sebuah tasik yang airnya berwarna kebiru - biruan
Refleksi peserta di air tasik
Dari tasik berwarna kebiruan tersebut, kami memasuki satu laluan yang nampaknya seperti sudah lama tidak dilalui. Di satu persimpangan, kami memasuki kiri melalui satu kawasan dengan pendakian pendek. Terdapat satu kawasan berlumpur yang saya rasakan adalah tempat babi hutan menyondol - nyondol mencari sumber makanan. Beberapa meter di hadapan kemudian, jalan mulai tidak kelihatan. Zainul dan Bukhari kemudiannya bertindak mencari laluan sambil yang lain - lain menunggu di belakang. Ada yang sempat layan downhill pendek di laluan pendakian semasa mula - mula kami memasuki kawasan ini.
Sementara tunggu proses cari jalan dihadapan, mereka yang di belakang ni layan downhill dulu ...
Wakjan pun nak layan downhill juga : )
Di sini, kumpulan terpecah kepada dua; kumpulan yang mula - mula turun terpaksa melalui jalan sukar yang bersemak samun di sebelah kanan sementara kumpulan terakhir yang turun berjaya menemui jalan mudah di sebelah kiri. Perjalanan berikutnya membawa kami turun ke pinggir tasik yang mempunyai laluan berpasir. Terdapat tiang elektrik dan objek seperti tiang gol bolasepak yang berada lebih kurang 40 meter ke tengah tasik. Jikalau tiang elektrik itu, mungkin ianya dapat dikaitkan dengan tasik yang dahulunya merupakan bekas lombong bijih timah tetapi saya agak musykil dengan tiang gol bolasepak itu.
Di kawasan berpasir ini, kemahiran mengendalikan basikal cukup teruji. Bagi peserta yang tidak biasa,, mereka sekadar menolak basikal dan bagi yang mahir laluan sukar ini dijadikan medan menguji kemahiran mengawal roda hadapan disamping kepandaian menggunakan gear yang sesuai. Di satu bahagian, laluan melalui sedikit bahagian berair tasik tersebut.
Bukhari melalui kawasan berpasir yang menguji kemahiran berbasikalnya
Jalan singletrack pinggir tasik menjadi sesak kerana orang dihadapan menolak basikal
"Ishhh, apa kes ?" ...
Seronok dapat layan laluan berpasir yang cukup menguji kemahiran individu
Bulat bersama basikal Cannondale F3000 Team Volvo model 1999 kesayangan beliau. Perhatikan fork bersuspensinya yang unik (CODA HeadShok Fatty SL)
Dari kawasan berpasir ini, kami kemudian naik ke kawasan berpermatang kecil sebelum memasuki kawasan landai. Terdapat dua lekukan (drop) yang dalam di sini, seolah - olah ramp untuk bermain dirtjump. Sangat seronok layan kedua - dua drop tersebut. Sekurang - kurangnya adalah juga kawasan untuk penunggang - penunggang basikal hardcore selain dari layan laluan yang santai di kebanyakan trail. Dari sini, kami melalui jalan sehingga bertemu sebuah pintu pagar berkunci. Kami terpaksa melalui sebelah kiri pagar sambil mengangkat basikal.
Perjalanan bersambung dan lebih kurang dua puluh minit kemudian, kami keluar ke arah palang tempat di mana kami mula - mula masuk lebih kurang dua jam sebelumnya. Di sebuah lorong ke kanan dimana terdapat banyak plot tanaman pokok, kami melalui laluan mendaki menghala ke atas sebuah bukit yang terdapat sebuah binaan menara pandang. Ketika mahu menuruni bukit ini, ada yang memilih untuk melalui jalan senang dan tidak kurang juga yang memilih untuk downhill melalui lereng bukit.
Seorang demi seorang menuruni lereng tersebut, tiba pada giliran seorang peserta perempuan yang merupakan isteri pada salah seorang peserta, beliau terjatuh ketika menghampiri beberapa meter terakhir laluan tersebut. Mujurlah beliau tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma pergelangan tangan yang saya kirakan sedikit terkehel. Seingat saya, tiada sesiapa yang menggunakan topi keledar ketika kami berbasikal pada petang itu. Kejadian ini saya jadikan iktibar pada diri sendiri. Begitulah pentingnya memakai topi keselamatan kerana malang tidak berbau ...
Sesudah suami beliau memastikan isterinya yang terjatuh itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius, kami menyambung perjalanan menuju ke sebuah bangunan yang meletakkan beberapa ekor kuda milik sebuah kelab ekuestrian dari Terengganu. Sesudah melihat kuda - kuda yang ada, juga melihat beberapa ekor kura - kura serta landak yang diletakkan di kawasan berpagar berhampiran kandang kuda tersebut. Saya dan beberapa orang lagi terus ke kenderaan kami yang diletakkan di kawasan kafe manakala sebilangan besar yang lain melawat badak air di tasik berhampiran. Terdapat beberapa peserta yang terpaksa pulang lebih awal, selebihnya minum petang di kafe PIW. Selepas minum di kafe, kami bertiga (Adnan, Izzat dan saya) memohon diri untuk pulang lebih awal kerana ingin pulang ke Shah Alam menghantar Adnan yang bekerja shift malam pada hari itu.
Tayar dibuka bagi memastikan basikal muat dimasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda ini
Sebahagian peserta wanita bergambar kenangan berhampiran kenderaan logistik BEL6689
Minum petang bersama sebelum masing2 bersurai
No comments:
Post a Comment