ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

06 December 2016

Audax / Randonneuring - Bahagian 1

Salam sejahtera rakan-rakan pembaca mahupun pengikut blog ini sekalian. Lama benar tak mengemaskini laman sesawang ini, dah jadi sesawang labah-labah rasanya hehehe ...

Rakan-rakan Pedal Krem Riders kita pun hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih aktif berkayuh, yang lainnya dah gantung basikal sementara mahupun bersara terus disebabkan komitmen kerja, keluarga dan lain-lain faktor. Apa-apapun hidup mesti terus. Pada yang masih aktif berkayuh, saya ucapkan teruskan beristiqomah dengan minat anda. Asal pastikan anda membahagikan masa sebaiknya antara kerjaya, keluarga mahupun minat berbasikal ini.

Di artikel kali ini, saya hendak bercerita mengenai Audax. Rasanya belum ramai pembasikal dalam negara kita yang tahu mengenai ini. OK, secara konsepnya Audax ini lebih kurang seperti larian 'ultra marathon' juga. Jika larian marathon ada half (21 km) dan full marathon (42 km), jarak yang lebih jauh dari 42 km sudah digelarkan 'ultra marathon'.

PENGENALAN:

Audax, dalam konteks berbasikal pula merupakan aktiviti kayuhan jarak jauh atau boleh dipanggil sebagai 'ultra cycling'. Bila dah ada pangkal ultra ni, mestilah si pelakunya power macam Ultraman, iya tak ? Kalau tak power, silap-silap lampu kat dada Otromen tu boleh berkelip-kelip tanda minta diselamatkan hehehe ...

Terlebih dahulu adalah lebih baik kita mengetahui asas Audax ini. Iyelah, tak kenal maka tak cinta. Audax adalah salah satu dari cabang sukan berbasikal di mana peserta cuba untuk berkayuh pada jarak jauh dalam had masa yang telah ditetapkan. Ia adalah sukan yang tidak berdaya saing (non competitive sport): kejayaannya diiukur dalam bentuk peserta berjaya menamatkannya.

Audax berasal dari sukan lasak di Itali pada lewat abad kesembilan, undang-undangnya telah dibentuk di Perancis pada awal abad kedua puluh. Pada masa kini, terdapat dua bentuk Audax: gaya kumpulan menunggang yang asal (group riding), Euraudax, ditadbir oleh Unions des Audax, dan 'free-paced' dikenali sebagai Randonneuring, ditadbir oleh Audax Club Parisien. Gaya kayuhan bentuk asal (group riding) kebanyakannya popular di Perancis, juga di Belanda, Belgium dan Jerman. Randonneuring popular di negara Perancis, Great Britain, Singapura, Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan China.

SEJARAH:

Pada lewat abad ke sembilan belas di Itali, sukan cabaran sehari penuh (day long challenge sport) menjadi popular. Peserta mensasarkan untuk meliputi jarak sejauh mungkin bagi membuktikan diri mereka 'audacious' (berani Audax). Acara kayuhan Audax yang pertama direkodkan berlaku pada 12 Jun 1897, dimana dua belas orang pengayuh basikal Itali membuat percubaan cabaran berbasikal dari Rome ke Naples, pada jarak 230 km, sewaktu hari siang. Acara yang sama turut menjadi popular di lokasi lain. Pada tahun 1904 wartawan Perancis, Henri Desgrange menghasilkan peraturan Audax, yang mana dipaparkan ke dalam suratkhabar bernama Auto.

Di bawah peraturan Audax, penunggang berbasikal di dalam satu kumpulan. Pelumba yang berjaya dianugerahkan sijil dikenali sebagai Brevet d'Audax. Sekumpulan penunggang basikal Audax berjaya membentuk Audax Club Parisien (ACP), yang mengambil alih penganjuran acara Audax bagi pihak Desgrange ini. Pada tahun 1920, terdapat perbezaan pendapat antara Desgrange dan ACP. Desgrange menarik balik kebenaran ACP untuk menganjurkan acara di bawah peraturan-peraturan Audax.

ACP kemudiannya mencipta versi 'free-paced' sukan ini, di mana pengayuh yang berjaya dianugerahkan sijil dipanggil Brevets des Randonneurs. Desgrange meneruskan bagi mempromosi undang-undang Audax asal dan pada 14 Julai 1921, Union of Parisian Audax Cyclistes (UACP) telah ditubuhkan, yang mana ianya kemudian menjadi Union of French Audax pada Januari 1956.

BEZA ANTARA EURAUDAX & RANDONNEUR:

Euraudax  (bentuk asal Audax)

Peserta dalam acara jenis asal Audax ini berkayuh dalam satu kumpulan, pada kadar kelajuan stabil yang ditetapkan oleh ketua digelar 'road captain'. Kumpulan ini mensasarkan untuk berkayuh pada kelajuan 22.5 km sejam antara hentian. Laluan dirancang dengan kawasan berhenti yang telah ditetapkan. Dalam acara Audax yang lebih jauh, kumpulan ini mungkin berkayuh dari 16 hingga 20 jam sehari sebelum berhenti di lokasi tidur yang telah ditetapkan. Matlamat Audax ialah untuk semua ahli kumpulan menghabiskannnya dalam had tempoh masa. Sebuah kenderaan sokongan dibenarkan dibenarkan untuk mengikuti setiap kumpulan peserta.


Randonneuring

Randonneuring adalah sama dengan gaya asal Audax iaitu penunggang basikal akan membuat percubaan untuk melengkapkan acara kayuhan jarak jauh. Walaubagaimanapun, peserta tidak berkayuh di dalam satu kumpulan dan bebas untuk berkayuh pada kelajuan yang mereka ingini, berhenti atau tidur di mana sahaja mereka mahu dan boleh membentuk kumpulan secara rawak; dengan syarat mereka mestilah berada dalam had masa yang ditetapkan.

Di sesetengah negara (contohnya Amerika Syarikat), garis perbezaan yang jelas dibuat antara 'Audax' dan 'Randonneuring'. Bagi negara lain seperti Australia dan Great Britain, gaya asal Audax mereka tidak begitu diketahui, terma 'Audax' dan 'Randonneuring' digunakan silih berganti.

UNDANG - UNDANG DAN PROSES:

Majoritinya acara randonneuring diklasifikasikan sebagai 'brevets de Randonneurs'. Dalam acara ini, pengayuh akan melalui siri pemeriksaan yang telah ditetapkan dipanggil 'controls', yang mana ianya secara tipikal terletak puluhan kilometer jauhnya.

Setiap pengayuh membawa 'brevet card' (selepas ini akan disebut kad brevet) yang mesti dicop pada pengawal di setiap 'controls' bagi membuktikan penamatan kayuhan. Dalam sesetengah acara, pengayuh akan diminta untuk tugasan tambahan (selain cop pada 'brevet card') dengan mengumpul resit di tempat tertentu dan menjawab soalan mengenai persekitaran di 'information controls'. Pada akhir acara, kad brevet akan diserahkan kepada pihak penganjur yang kemudiannya akan menyemak dan mengesahkan keputusan.

Penunggang yang tiba awal di 'controls' harus menunggu sebelum mereka dibenarkan untuk meneruskan kayuhan. Peserta boleh berhenti dan makan di 'controls', walaupun tiada masa tambahan dibenarkan untuk berbuat demikian. Penunggang bebas untuk berbasikal secara individu atau dalam kumpulan yang mereka mahu. Brevet ini bukanlah satu perlumbaan, dan tiada arahan untuk melengkapkan jarak kayuhan. Peserta adalah diharapkan untuk berdikari di antara jarak 'controls' dengan membawa makanan, minuman, alat gantian, dan peralatan membaiki untuk memenuhi keperluan masing-masing.

BASIKAL & PERALATAN:

Basikal untuk randonneuring adalah tidak tertakluk kepada peraturan-peraturan UCI. Basikal yang diterima pakai untuk randonneuring ialah yang hanya ditenagakan oleh manusia (solely human powered), menggunakan roda dan tidak lebih dari satu meter lebar. Basikal roda tiga (trikes) dan basikal baring (recumbent) adalah dibenarkan.

Simon Doughty, seorang penulis, menggambarkan basikal randonneuring tipikalnya sebagai pertengahan antara basikal yang didedikasikan sebagai road bike dan basikal kembara (touring bike). Basikal berkenaan biasanya mempunyai kerangka (frame) keluli ringan, drop handlebar, rangka bergeometri santai dan selesa, tayar sederhana lebar serta keupayaan untuk membawa barang-barang ringan. Mudguard dan sistem lampu mungkin juga diperlukan untuk sesetengah acara.

Peserta dijangka dapat berdikari antara jarak controls kecuali sekiranya berlaku kecemasan sebenar. Oleh itu, penunggang diharapkan dapat membawa makanan, minuman, peralatan pembaikan dan lain-lain. Beberapa acara secara khususnya memerlukan peserta membawa peralatan tertentu seperti lampu, mentol gantian, pakaian reflektif dan lain-lain. Walaupun begitu, ini adalah berbeza-beza bergantung kepada pihak penganjur.

JARAK & HAD MASA:

Acara randonneuring ini mesti dijalankan dalam had masa yang ditetapkan. Terdapat pelbagai variasi, tetapi senarai di bawah adalah secara lazimnya.

  • 200 km (120 batu) - 13.5 jam (14 jam di UK, seperti pada acara asal)
  • 300 km (190 batu) - 20 jam
  • 400 km (250 batu) - 27 jam
  • 600 km (370 batu) - 40 jam
  • 1,000 km (620 batu) - 75 jam
  • 1,200 km (750 batu) - 90 jam (atau 80 atau 84 jam, dengan pilihan)
  • 1,400 km (870 batu) - 116:40 jam (pilihan 105:16 atau 93:20 jam)


ANUGERAH:

Seorang peserta yang telah berjaya menamatkan brevet sejauh 200 km (120 batu), beliau dipanggil 'randonneur'. Ini adalah gelaran sepanjang hayat.

Peserta yang melengkapkan acara berjaya menerima anugerah, samada dari Audax Club Parisien atau organisasi randonneuring lain. Contohnya ialah:

Brevet Medal (BM)- menyelesaikan sebarang brevet tunggal samada jarak 200, 300, 400, 600 atau 1000 kilometer (120, 190, 250, 370 atau 620 batu)

Super Randonneur (SR) - melengkapkan satu siri brevet 200, 300, 400 dan 600 kilometer dalam musim / tahun yang sama.

Randonneur 5000 - melengkapkan siri penuh brevet 200, 300, 400 dan 600 kilometer, Paris - Brest - Paris (PBP) dan  Flèche Vélocio (di mana sekurang-kurangnya tiga peserta mesti memulakan, dan sekurang-kurangnya tiga peserta mesti menamatkannya)

Paris - Brest - Paris (PBP) - menamatkan PBP dalam tempoh masa 90 jam


< < < B E R S A M B U N G  > > >


Nota:
(1) Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut.
(2) Jika terdapat sebarang kekeliruan dari segi pemahaman bahasa dan terma, artikel asal dalam Bahasa Inggeris haruslah dirujuk.

Sumber rujukan: