ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

27 January 2011

Pencarian trail Bukit Bandaraya, Shah Alam

Pada Sabtu 22.01.2011 yang lalu, saya telah diajak oleh Adnan untuk cuba mencari trail yang dikatakan wujud di Shah Alam bernama Bukit Bandaraya. Menurut beliau, semasa sedang memancing di sebuah tasik di situ dia ternampak sekumpulan penunggang basikal MTB yang keluar entah dari mana. Pada mulanya saya berasa keberatan untuk mengikuti beliau kerana kaki masih lagi terasa sengal dek penangan pendakian kayuhan touring Fraser Hill pada 20 hingga 21.01.2011. Setelah berehat di pagi hingga tengahari Sabtu  dan berjaya menghilangkan sedikit rasa lenguh pada kaki maka pada petang itu saya bersetuju untuk menjejaki trail tersebut bersama beliau.

Saya mengambil Adnan di kediamannya yang terletak di seksyen 18 Shah Alam, kemudian terus menghala ke seksyen 8 Shah Alam memasuki kawasan meletak kereta Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam atau nama lamanya Bukit Cherakah. Dari tempat letak kereta, kami terus ke kawasan tasik di pinggir kawasan perumahan mengikut lawan arah di jalan bertar dua lorong. Jalan tersebut pada mulanya mendaki dan diakhiri dengan permukaan yang landai. Semasa baru memasuki jalan offroad di pinggir tasik, terdapat dua orang pemuda sedang memancing ikan manakala di kejauhan terdapat kanak - kanak sedang mandi tasik sementara ibu mereka sedang membasuh pakaian. Jangkaan awal saya mereka itu adalah suku kaum orang Asli melihatkan pada paras rupa mereka.

Nota: gambar - gambar diambil dari album di laman Facebook Adnan. Klik pada gambar untuk melihat imej yang lebih besar.


.
Melepasi kawasan bertasik, hendak memulakan pencarian trail Bukit Bandaraya


Kami meneruskan perjalanan melalui jalan tanah merah yang menuju ke laluan masuk bersebelahan paya dan mempunyai pagar mengelilingi paya tersebut. Bahagian luar denai terdapat kawasan kebun dan pondok, dimana agak seronok kami berdua melayani laluan ini. Laluan tersebut membawa kami ke sebuah pintu gerbang kayu dan kawasan berpagar yang terdapat dua rumah di dalamnya. Terdapat seorang kanak - kanak bermain di depan rumah, seorang pakcik sedang berehat di muka pintu rumah dan dua pemuda sedang lepak sambil bersembang di sebuah pondok bersebelahan rumah. Melihatkan pada paras wajah serta cara hidup mereka, memang sahlah mereka ini berketurunan kaum Orang Asli. Kini, saya dapat melihat sendiri masyarakat orang asli Bukit Cherakah yang sebelum ini cuma hanya mendengar ceritanya sahaja. 

Menyedari telah tersilap jalan, kami memohon maaf pada mereka. Dua orang pemuda itu memberitahu yang di situ ialah penghujung jalan dan kawasan di depan cuma kebun mereka. Tambah mereka lagi, kadang - kadang terdapat pendaki yang memasuki kawasan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam itu secara haram menerusi pagar berlubang berhampiran kawasan perkampungan mereka. Katanya lagi dengan nada berseloroh, "Kami ni pun tak dapat nak halang, lagipun kami ni pun bukan jaga (pengawal keselamatan) kawasan ni" ... Hahaha, betul juga katanya ...

Kami berpatah balik meninggalkan perkampungan tersebut, dalam perjalanan terjumpa pula sebuah simpang ke kanan. Jalannya memang mengujakan kami pada permulaan, tidak berapa lama kemudian kami dihampakan dengan jalan tersebut yang berakhir di sebuah kebun yang mempunyai pondok. Keluar dari jalan yang pertama, kami bercadang ke jalan kedua yang juga memasuki kawasan pagar. Jalan tersebut membawa kami kepada sebuah lagi perkampungan yang mempunyai beberapa buah rumah. Di situ kami berjumpa seorang wanita orang asli yang merupakan ibu pada beberapa orang anak kecil, beliau memberitahu yang penghujung jalan itu cuma terdapat sebuah rumah dan kebun. Kami akur pada kata - kata beliau, dan menghala ke kiri melalui jalan downhill yang memang layan punya. Di penghujung jalan, alamakkkk, ada kawasan berpaya lah ...

Nak tak nak, terpaksalah menolak basikal yang berat ni (basikal murahlah katakan) ke atas kembali. Keluarga itu tadi kami tinggalkan, kali ini ingin mencuba denai kecil kesebelah kanan yang menuruni bukit pula. Downhill nya memang seronok dengan laluan teknikal, malangnya tak sampai 50 meter saya terjumpa sebuah kolam empat segi yang mempunyai pelantar seperti tempat untuk mereka mandi atau mengambil sumber air. Saya naik ke atas semula sambil memberitahu Adnan, "sekali, ini diaorg punya bilik air daaaa" dan kami berdua tertawa besar hahaha ... Sekali lagi kami terkena ... 

Kampung kedua ini kami tinggalkan dan bercadang pula untuk masuk pula ke satu denai yang terletak bersebelahan tasik. Tiba di situ kawasan lorong terbahagi kepada dua. Satu naik ke atas menuju kampung orang asli (sengaja saya elakkan melalui situ, ada dua ekor anjing berkawal daaa) dan satu lagi betul - betul bersebelahan tasik. Laluan di tepi tasik itu memang menarik, yang mana ianya membawa kami ke satu kawasan berpagar. Di sebelahnya terdapat satu kawasan di dalam Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam yang saya masih cam kerana pernah masuk ke situ beberapa tahun dahulu. Denai membawa kami ke satu pagar berlubang. Dengan rasa ingin tahu dan mencari trail yang diperkatakan, kami terus mengangkat basikal masuk kedalamnya.


 'Enter at your own risk' ...


Sebaik sahaja memasuki kawasan Taman Pertanian, kami teruskan perjalanan sehingga berjumpa jalan besar. Ketika kami  baru hendak keluar dari kawasan bersemak itu tadi, terdengarlah bunyi motorsikal sedang melalui jalan besar. Apabila diperhatikan, rupanya dua orang pengawal keselamatan bermotorsikal sedang meronda kawasan. Fuhhh, nasib diaorang tak nampak kami. Dah macam buat salah besar aje ni huhuhu ... Adnan dan saya bersepakat untuk keluar semula dari kawasan berpagar ni sambil masing - masing bercadang untuk membuat perancangan nakal (mana boleh bagitahu hehehe) suatu hari nanti. Tunggguuu ... Kami melalui kembali denai yang mengelilingi tasik itu dan keluar semula di jalan asal semasa kami mula - masuk ke situ. Perancangan terakhir ialah untuk mencuba satu lagi laluan berhampiran simpang tiga Bukit Bandaraya - Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam. Semasa hendak kesana, sempat juga kami layan laluan downhill yang tersangatlah pendeknya.


 Adnan sempat 'menajamkan' kemahiran menuruni bukit beliau ...


Kami melalui jalan bertar dua lorong dengan laluan pendakian yang kemudiannya berakhir dengan penurunan hingga menghampiri simpang tiga jalan masuk utama ke Bukit Bandaraya. Terdapat satu denai kecil sebelah kiri yang ingin kami terokai. Memasuki sahaja denai tersebut, saya menjumpai cebisan kertas penanda yang menunjukkan laluan di situ pernah digunakan untuk kegiatan larian rentas desa.


 Cebisan kertas penanda arah Shah Alam Triple H (Hash House Harriers)


Dari situ, kami menolak basikal dan yang menghairankan kami, terdapat sebuah jalan bertar yang telah tidak digunakan di atas bukit tersebut. Sebuah palet kayu diletakkan mungkin sebagai kemudahan pada pengguna jalan tersebut untuk melintasi longkang.


 Mula memasuki denai MTB (mari tolak basikal) yang pendek


 Palet kayu yang diletakkan di tebing longkang untuk kemudahan melintas


Kami mengikut laluan bertar tersebut sehingga ke puncaknya. Dan saat yang paling menggembirakan kami, terjumpa satu papantanda hitam bertulis Band of MTB Riders dengan terdapat satu denai di sebelah kanannya Yezzzzaaaaaa ... Hati bersorak girang dengan mengatakan itulah trail yang dicari - cari selama ini. Setelah puas bergambar, kami memasuki trail tersebut dengan semangat yang berkobar - kobar.


 Welcome to the 'Band of MTB Riders' trail ...


 Ayuh kita cuba trail ni ...


 Laluan permulaan dengan sedikit pendakian


 Ooppss tunduk mengelak, terhantuk kepala nanti  ... 


Bahagian pertama trail membawa kami berdua ke satu tanah lapang yang agak luas. Penghujung sebelah kanan trail terdapat satu tangki air lama yang tidak digunakan lagi. Dalam mencari - cari laluan seterusnya, Adnan terperasan satu timbunan tanah berbukit yang dibuat seperti lapangan untuk bermain dirtjump. Apalagi, kami pun layan lompat lah beberapa kali, layan dowhhhh ...


 Tangki air lama di bahagian atas fasa pertama trail


 Adnan layan dirtjump menggunakan Polygon Axion kepunyaan Wakjan


Puas kami melayan dirtjump, tibalah masa untuk mencari lanjutan trail tersebut. Di penjuru bahagian lapang tersebut kami menjumpai laluan masuk ke denai. Diringkaskan cerita, trail bermula dengan pendakian, laluan kemudian kembali mendatar diselangi turun naik sebelum berakhir dengan satu drop berlekuk yang agak dalam. Memang trail yang menarik kerana melalui celah - celah pokok yang kalau hilang kawalan, memang akan mendapat habuan terlanggar pokok. Halangan akar pokok dan batang pokok di kiri - kanan laluan menambahkan lagi kesukaran trail tersebut. Di penghujung trail melepasi tali merah - putih yang diikat, nampak seperti ada kesan - kesan tanah dicangkul mungkin untuk menambah panjang laluan sedang dijalankan


 Laluan yang ditandakan dengan ikatan tali merah - putih


 Adnan sedang melalui fasa terakhir trail


 Lekukan terakhir yang kalau salah teknik boleh membuatkan anda terhumban dari basikal !!


Selesai menamatkan satu loop, kami berehat di teduhan pokok yang terletak berhampiran hujung trail sambil minum dan makan roti ban cokelat yang dibawa. Tiba - tiba, kami dikejutkan dengan bunyi loceng. Rupanya, bunyi itu datang dari loceng dipasang pada sebuah basikal remaja yang turut berbasikal di situ. Beliau menyapa kami dan terus berlalu, mungkin hendak menyambung lagi satu loop fikir saya. Kami berdua seakan tidak puas dan mahu mencuba sekali lagi trail tersebut. Remaja tersebut menuruni laluan berbukit dan melalui jalan bertar manakala kami mencuba laluan berbukit yang kemudiannya menghala ke tanah lapang tempat kami bermain dirtjump di awal kehadiran kami ke trail itu.

Kami berdua bersepakat untuk menuruni kembali laluan berbukit tersebut, kemudian melalui jalan bertar dan mengulangi satu loop trail. Trail Bukit Bandaraya itu kami ulangi sekali lagi, kali ini dengan lebih laju dan yakin kerana telah menghafal laluan. Habis sahaja menamatkan kayuhan, kami pulang ke arah tempat letak kereta. Semasa dalam perjalanan pulang, saya telah dipintas oleh remaja tadi dan nampaknya beliau akan membuat ulangan kali ketiga di trail tersebut.

Dalam perjalanan menuju ke kereta, kami berjumpa Abd Salam salah seorang rakan outdoor. Beliau mengajak kami menjamu selera di Seksyen 2 Shah Alam. Ketika kami sampai di sana, beliau belum lagi tiba dan kami terus memesan ABC untuk dinikmati. Beberapa minit kemudian, beliau bersama rakan - rakan yang lain turut singgah di situ. Kami tidak dapat lepak lama bersama mereka kerana terpaksa pulang awal kerana Adnan bekerja pada malam itu. Ohh ya, ABC kami hari itu dibelanjai oleh Abd Salam & the Gang. Terima kasih weeiiii ...


 Kembali ke tempat meletak kereta Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam. Saje ngada2 nak ikut situ hehehe ...


Terima kasih diucapkan pada perintis dan pengendali trail MTB Bukit Bandaraya. "Minta maaf, anak cucu MTB tumpang seronok kat trail hari tu. Jangan marah aaa, kami berdua pun band of MTB riders juga kan, kan, kan ...

 

14 comments:

Unknown said...

i like...:-)

Azizan Zolkipli said...

Mr Jem: wanna try some day ?

Aku dan Basikal said...

wanna try.... besttttt

Azizan Zolkipli said...

Aku dan Basikal: try, jgn tak try ... seronok wa cakap lu : )

Anan Amri said...

tq 4 the cool review. datang lah selalu. memang 1 loop kecik tapi 5 loop pun dah penat kot. takpa. kita semua mtb rider =)

Azizan Zolkipli said...

Anan Amri: terima kasih menjengah laman saya ni. bila ekk paling akhir saya kesana, adalah satu petang tu kami dtg bertiga masing2 lepas kerja. dapatlah buat 3 loop sebelum Maghrib hehehe ...

Seri Nuang Shah Alam said...

Kami dari Seri Nuang Shah Alam,

selamat datang diucapkan.

Azizan Zolkipli said...

Seri Nuang Shah Alam: Terima kasih atas aluan selamat datang tu. Juga terima kasih atas kunjungan ke laman ni. 'Seri Nuang' ni saya perasan, nama apartment/flat baru sebelah tasik tu kan ? hari tu saya dgn kawan sorang redah hutan2 berhampiran ...

Puan Ninie said...

salam..:)
husband kt pon baru join mtb..sedang mencari TRACK juga..maybe next time leh join awak semua kan?:)

Azizan Zolkipli said...

mEiZ SHA: Salam kembali ! Wahhh, baguslah kalau camtu. boleh je join, takde masalah. saya dah lama tak layan offroad sebab kebelakangan ni dok layan touring je.

camna pun, ramai kawan2 saya yang masih beroffroad lagi ...

bushmaker11 said...

tp trail ni dh semak sgt......baru2 ni try layan...

Azizan Zolkipli said...

@bushmaker11: Ohhh, iye ke ? Agaknya bebudak Band Of MTB Riders pun dah lama tak buat penyeliaan trail tu kot ...

Unknown said...

Nak cuba!kordinatnya ada?

Azizan Zolkipli said...

@Eddy Junaidi:

Saya lama tak kesana. Nanti hujung minggu bila2 kalau lapang, saya akan tracking koordinatnya ya.