ADS BY NUFFNANG

TRANSLATION

22 December 2010

Pencarian 'offroad' Taman Tasik Perdana: 12.12.2010

Selama ini, saya hanya pernah mendengar terdapatnya laluan kayuhan offroad sekitar kawasan Taman Tasik Perdana. Teringin juga rasanya untuk mencuba laluan itu. Hasrat ini terpendam sekian lama kerana tidak mengetahui siapakah rakan - rakan kayuhan yang mengetahui tentang laluan tersebut. Sedang membaca beberapa blog yang didapati dari pautan (link) http://malaysiacycling.blogspot.com/, iaitu laman http://kelolo.blogspot.com. Mata tiba - tiba terpandang pada sebuah artikel di dalamnya berjudul Sebutir Permata Di Tengah Kotaraya. Dengan penuh rasa minat, saya mengamati artikel tersebut diikuti dengan melawat ke laman Picasa pemilik laman blog yang menghimpunkan gambar - gambar semasa kayuhan.

 Ayuh jengah sini untuk catatan pengalaman & kalendar aktiviti berbasikal seMalaysia

 Sumber inspirasi, disertai catatan laluan beserta gambar

 Laman Picasa pemilik blog yang dijadikan sebagai panduan untuk menjejaki laluan


Tanpa membuang masa, saya mengekstrak semua info yang disertakan baik dalam bentuk penulisan mahupun visual (gambar) dan juga koordinat GPS. Nasib kurang menyebelahi, GPS Garmin 60CSx dan perisian MapSource saya mengalami masalah iaitu kedua - duanya hanya mempunyai base map. Semua jalan dan waypoint telah hilang tanpa diketahui sebabnya !! Walaubagaimanapun, ini tidak menjadi penghalang kerana saya masih boleh menyimpan tiga koordinat yang diberikan dan mencarinya secara manual di lokasi. Cuti hujung minggu yang tidak beraktiviti ditambah lagi dengan hasrat yang terpendam sekian lama, saya nekad untuk mencari laluan offroad ini walaupun dengan keadaan GPS yang tidak sempurna.

Malam sebelum ke lokasi, khidmat pesanan ringkas (sms) dihantar kepada rakan - rakan PK Riders, mengajak mereka untuk datang dan mencari laluan yang diperkatakan ini. Hanya Hairul dan Hadri yang bersetuju untuk datang pada pagi Ahad itu, manakala yang lain menolak atas sebab - sebab tersendiri. Ah Chong pula berada di luar kawasan kerana menyertai jambori Kuala Linggi. Cuaca kelihatan cerah pada pagi Ahad itu ketika saya memanaskan enjin kereta, tiba - tiba sekitar jam 0800 pagi mendapat satu sms dari Hadri yang bertulis:

Wak jan, berita tkini, saya x jd ikut, x dpt pkai keta, keta prob lak pg2 ni. Br nak load beskal

Alamak, dah kurang lagi satu penyertaan. Apa nak buat, kerosakan ni kita tak boleh duga. Mungkin ini ada satu hikmah dari Allah SWT yang kita manusia biasa tidak mengetahuinya. Begitulah bisik hati saya. Saya tiba di kawasan parkir Taman Tasik Perdana lebih kurang 40 minit kemudian, setelah melalui beberapa sekatan jalan. Rupanya ada larian pada hari itu. Sementara menunggu Hairul tiba, saya bersarapan di sebuah kedai makan disitu dengan menu mee sup bersama teh tarik. Sedang leka menikmati sarapan pagi, kedengaran telefon bimbit berbunyi menandakan kemasukan sms. Sms dari Hairul yang bertulis:

Jijan sori aku baru bangun nie ...

Aduhhh, sabar ajelah ... Takpelah, tunggu Hairul datang dulu kalau gi sorang bosan pula nanti. Lagipun untuk faktor keselamatan, baik pergi berdua dikhuatiri kalau berseorangan macam - macam perkara boleh terjadi. Dah lah laluan tu jarang dilalui fikir saya di dalam hati. Selesai bersarapan, saya membawa GPS lalu cuba mencari laluan dengan berjalan kaki. Checkpoint pertama dan kedua yang ditanda terlebih awal melalui info dari laman blog itu berjaya saya jejaki, tetapi gagal untuk menemui sebarang laluan. Tidak mahu membuang masa, saya memutuskan untuk kembali ke kawasan letak kereta melalui taman permainan yang dipenuhi dengan kanak - kanak serta ibu bapa mereka. 

Dalam perjalanan, perhatian saya tertumpu pada empat buah basikal yang diletakkan di tepi jalan. Sebuahnya darinya basikal fixie, satunya road bike yang dijadikan fixie manakala dua basikal lagi MTB yang menggunakan tayar road. Salam dihulur tanda perkenalan, lantas laluan offroad Taman Tasik Perdana saya tanyakan. Kedua - dua rakan baru tersebut tidak tahu menahu tentang laluan itu, dan meminta saya menunggu rakan mereka yang sedang jogging. Selang beberapa minit, dua rakan mereka yang baru selesai berjogging datang ke arah kami. Kami saling bersalaman dan saya menanyakan soalan yang serupa pada kedua pemuda ini. Malang sekali, mereka berdua mengetahui akan kewujudan laluan offroad tersebut tetapi tidak tahu dimanakah laluannya. Hmm, nampaknya kena cari jalan sendiri jugalah ...

Lebih kurang jam 1000 pagi, Hairul menelefon saya bertanyakan tentang lokasi pertemuan. Setelah memberitahu yang saya berada di kawasan parkir tempat kami selalu lepak setiap kali habis larian marathon, beliau terus ke lokasi. Hairul bersarapan terlebih dahulu di kedai sama tempat saya bersarapan. Selesai bersarapan, kami memulakan perjalanan dari kawasan meletak kereta dengan melalui Jalan Kebun Bunga, kemudian memasuki Jalan Cenderawasih. Dari situ akan melepasi bangunan Pustaka Peringatan Awam diikuti persimpangan Jalan Cenderawasih - Jalan Tembusu. Di persimpangan tersebut, kami ke arah kanan memasuki kawasan berpagar Taman Tasik Perdana. Untuk mendapatkan kepastian, kami menanyakan arah Taman Rusa dan Kancil pada seorang pengawal keselamatan bertugas. Beliau mengatakan kami hanya perlu meneruskan perjalanan dan taman tersebut akan berada di sebelah kiri kami.

 Dah macam masuk acara treasure hunt, cari jalan guna arahan bertulis gara - gara GPS tidak berfungsi


 Panduan bertulis, hasil ekstrak info dari laman blog

'Pintu rimba' ke permulaan laluan


Melepasi Taman Rusa dan Kancil di sebelah kiri, kami melalui trek jogging yang sedikit mendaki. Tidak jauh dari permulaan trek jogging itu, kami menemui laluan masuk ke permulaan trail. Boleh dikatakan permulaan laluan kebanyakannya landai serta selari dengan laluan jogging di sebelah kanan. Laluan tersebut membawa kami ke sebuah pintu pagar tertutup berhampiran Planetarium Negara. Dari situ, kami melalui laluan singletrack yang membawa kami ke terowong masuk ke Muzium Negara. Alang - alang menyeluk pekasam, Hairul mengajak saya untuk bersiar - siar di kawasan Muzium Negara dan peluang itu diambil sebaik mungkin untuk sesi bergambar : )
Pintu masuk utama Muzium Negara, menghadap KL Sentral



 Muzium Negara, dari sudut lain pula



Terowong yang menghubungkan Taman Tasik Perdana - Muzium Negara



Sekembalinya dari bersiar - siar disertai sesi gedik fotografi di Muzium Negara, kami meneruskan perjalanan untuk mencari trail. Berhampiran terowong laluan ke Muzium Negara, kami berjumpa dua perdu buluh kuning di sebelah kiri trek jogging, di tengah - tengah antara pohon buluh  itu kami masuk dan melalui lereng bukit, di sebelah kanan kami terdapat sebuah kawasan berbukit seperti permatang. Jalan tersebut membawa kami naik ke kawasan permatang dan kemudiannya dihadapan terdapat downhill pendek tapi pantas yang diakhiri dengan kawasan lapang berumput. Berhampiran kawasan lapang tersebut, terdapat pintu pagar masuk yang berhampiran Lebuhraya Mahameru. Laluan memasuki kawasan redup di bawah pokok kelapa sawit dengan laluan mendaki, sebelum laluan rata yang disebelah kanannya terdapat lereng bukit yang tinggi dan curam. Dari sini, kelihatan trek jogging & tasik.


Rupa bentuk laluan selepas pintu pagar berhampiran Lebuhraya Mahameru

Seakan tidak percaya adanya laluan sebegini dalam kawasan Taman Tasik Perdana

Selepas kawasan mendatar, laluan mula memasuki hutan sekunder yang redup dengan sedikit pendakian. Disini kami melalui satu downhill yang panjang, dengan belokan pantas ke kanan dan diakhiri dengan laluan landai.
Di permulaan kawasan downhill

Menuju ke pengakhiran downhill, selepas belokan pantas ke arah kanan


Setelah downhill, kami disajikan dengan laluan berkanopi bawah pokok. Cerun mendaki melalui akar - akar kayu dan laluan kembali landai. Tiba - tiba, terdapat downhill pantas disebelah tebing curam. Dinasihati agar berhati - hati ketika melalui laluan ini kerana terdapat lereng curam di sebelah kanan. Tidak berapa lama kemudian, kami tiba di sebuah kawasan lapang. Meninggalkan kawasan lapang tersebut, kami melalui denai mendaki yang sempit, diikuti dengan laluan menurun. Disini, kami melalui jalan kebahagian iaitu laluan landai yang berselari dengan trek jogging di sebelah kanan laluan. Trek ini melalui akar - akar berselirat dan pada penghujung trek, kita akan menjumpai sepohon besar pokok jejawi.


Penghujung laluan, jurugambar2 sedang memotret seorang model di sebatang pohon jejawi

Selepas keluar dari laluan, kami memasuki kawasan taman permainan dan melalui kawasan taman tasik, melalui tepi beberapa kolam dan memasuki auditorium yang nampaknya masih kelihatan baru. Sempat juga kami ber urban downhill dan berfotografi di situ. Dari auditorium, kami ke gerai makan di Jalan Tanglin berhampiran polis Bukit Aman untuk makan tengahari. Selesai makan tengahari, kami bersiar - siar di kawasan Planetarium, Taman Orkid & Taman Bunga Raya sambil masing - masing beraksi ala urban downhill di laluan bertangga. Petang itu, buat kali kedua & ketiganya kami berdua memasuki kembali laluan offroad tersebut bagi menghafal dan memperhalusi lagi laluan. Kayuhan hujung minggu tersebut berakhir selepas kami menikmati makan & minum petang di gerai makan Jalan Tanglin.


Layan downhill bertangga ala2 urban di kawasan auditorium terbuka

Selesai dengan kayuhan offroad, jalan2 sekitar kawasan Planetarium Negara pula

Kata - Kata Hikmat: 

No comments: